PETALING JAYA – Seorang pegawai tentera berpangkat kapten yang ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan maut di Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) akan didakwa di mahkamah esok.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, keputusan pertuduhan itu dibuat selepas kertas siasatan dirujuk kepada Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara.
“Pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan akan dibuat pada pukul 9.30 pagi esok di Mahkamah Sesyen Jenayah Jalan Duta Kuala Lumpur.
“Suspek turut berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan kandungan alkohol melebihi had ditetapkan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap pemandu serta penumpang kenderaan e-hailing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan mahkamah membenarkan suspek direman selama lima hari sebelum disambung selama dua hari sehingga esok.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.38 pagi, 23 April lalu, suspek yang memandu sebuah Ford Fiesta dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah Perodua Alza yang beroperasi sebagai kenderaan e-hailing.
Kejadian dipercayai berlaku di Kilometer 1.9 lebuh raya MEX dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak.
Kemalangan itu mengorbankan seorang lelaki pencipta kandungan terkenal warga Bangladesh berusia 22 tahun yang mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang lagi penumpang wanita warga Bangladesh berusia 20 tahun cedera dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Turut cedera ialah pemandu e-hailing yang mengalami kecederaan di kepala serta seorang penumpang wanita berusia 36 tahun dalam Ford Fiesta berkenaan.
Siasatan awal mendapati kenderaan e-hailing itu membawa dua penumpang warga Bangladesh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ketika kejadian berlaku.
Hasil ujian pernafasan terhadap suspek menunjukkan bacaan alkohol melebihi had dibenarkan, manakala ujian air kencing didapati negatif dadah. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
2
















![[KEMAS KINI] Lek Khang kritikal, kini sedang jalani pembedahan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/KWEE-KWANG-ketika-ditemui-pemberita-di-Jabatan-Kecemasan-dan-Trauma-di-Hospital-Sultan-Ismail-Johor-Bahru-hari-ini..jpeg)






























