PETALING JAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan pelaksanaan Program Repatriasi Migran 2.0 yang berakhir hari ini akan dilanjutkan berkuatkuasa pada 1 Mei hingga 31 Mei 2027.
Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian terhadap keberkesanan pelaksanaan program tersebut.
Beliau berkata, PRM 2.0 telah merekodkan pencapaian signifikan termasuk jumlah pendaftaran yang tinggi, penghantaran pulang secara sukarela yang konsisten serta kutipan kompaun yang memberangsangkan, sekali gus menyumbang kepada pengurangan keberadaan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di dalam negara.
“Bermula dari 19 Mei 2025 hingga 29 April 2026, PRM 2.0 telah merekodkan sebanyak 254,186 pendaftaran melibatkan PATI daripada 112 negara, dengan jumlah kutipan hasil bernilai RM127 juta, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan pematuhan sukarela dalam pengurusan migrasi negara.
“Di bawah program ini, individu terlibat dikecualikan daripada pendakwaan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan serta dikenakan kompaun mengikut kesalahan, iaitu RM500 bagi kesalahan memasuki dan berada tanpa pas yang sah atau tinggal lebih masa, dan RM300 bagi kesalahan melanggar syarat pas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zakaria berkata, pemohon turut dikenakan bayaran Pas Khas sebanyak RM20 bagi setiap pengeluaran sebagai dokumen sementara bagi melengkapkan urusan penghantaran pulang ke negara asal.
“Pelanjutan ini dilaksanakan bagi memperluas pematuhan secara sukarela dalam kalangan PATI, di samping mempercepatkan proses penghantaran pulang secara tersusun serta mengoptimumkan pengurusan sumber penguatkuasaan negara.
“Dalam masa yang sama, JIM akan terus memperhebat tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh dan berterusan melalui operasi bersepadu, risikan dan pemantauan di seluruh negara bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan menghantar pulang mana-mana individu yang melanggar undang-undang imigresen, termasuk majikan atau pihak yang melindungi mereka,” katanya.
Sehubungan itu katanya, semua PATI diseru untuk tampil segera menyelesaikan status masing-masing melalui saluran yang sah sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.
“JIM kekal komited dalam memastikan pengurusan migrasi negara dilaksanakan secara tegas, teratur dan berintegriti, selaras dengan kepentingan keselamatan negara serta kedaulatan undang-undang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
3















































