Piala Thomas: China tunggu Malaysia di suku akhir

4 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Laluan sukar menanti skuad badminton lelaki negara menjelang aksi suku akhir Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark apabila diundi bertemu juara Kumpulan A yang juga pemenang 11 kali, China esok.

Berdasarkan prestasi semasa, China dianggap sebagai pilihan bagi meneruskan kemaraan ke pusingan separuh akhir, namun itu bukan alasan buat pasukan negara untuk mengibar ‘bendera putih’ terlalu awal.

Sebagai rekod, Malaysia pernah bertemu pasukan Tembok Besar itu sebanyak 11 kali dalam saingan Piala Thomas dengan menyaksikan China menang sebanyak lapan kali manakala Malaysia tiga kali.

Terdahulu, pasukan negara meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati apabila muncul naib juara Kumpulan B di belakang Jepun selepas mencatat dua kemenangan ke atas England dan Finland selain tewas kepada Jepun.

SENARAI lengkap aksi suku akhir saingan Piala Thomas 2026. – BWF

Sementara itu, undian lain menyaksikan Jepun akan membuat perhitungan dengan pasukan ‘dark horse’, Perancis yang merupakan naib juara Kumpulan D manakala juara Kumpulan C, Taiwan bakal berdepan India selaku naib juara Kumpulan A.

Satu lagi perlawanan bakal mempertemukan juara Kumpulan D, Thailand dengan satu lagi wakil Eropah yang juga pasukan tuan rumah, Denmark selaku naib juara Kumpulan C.

Pada edisi kali ini, pasukan negara meletakkan sasaran untuk menjadi juara, sekali gus menamatkan penantian selama 34 tahun selepas kali terakhir memenangi Piala Thomas pada edisi 1992 di Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |