Pertubuhan orang cacat penglihatan seru kerajaan pergiat amalan pekerjaan inklusif

3 hours ago 4

PETALING JAYA – Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) menyeru kerajaan untuk mempergiat dan memperkukuh usaha menyokong amalan pekerjaan inklusif khususnya bagi golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Presidennya, Mohd. Mustaza Mohamad Zin berkata, langkah berterusan perlu diambil bagi memastikan komuniti itu mendapat akses yang adil dalam pasaran kerja, selari dengan keperluan semasa yang semakin menuntut kemahiran digital dan profesional.

Katanya, antara cadangan utama yang diketengahkan termasuk penyediaan subsidi 50 peratus bagi teknologi sokongan yang digunakan oleh pekerja OKU penglihatan.

“Inisiatif ini mampu mengurangkan beban kos majikan dan meningkatkan kebolehcapaian di tempat kerja.

“Selain itu, akses kepada latihan kemahiran dan program peningkatan digital yang inklusif perlu diperluas bagi memastikan golongan ini kekal berdaya saing dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

SBM turut menekankan kepentingan pelaburan berterusan dalam infrastruktur mesra OKU termasuk kemudahan pengangkutan awam dan akses digital bagi menyokong kehidupan berdikari dalam kalangan komuniti berkenaan.

“Golongan OKU penglihatan bukan memerlukan simpati, sebaliknya peluang yang adil untuk membuktikan kemampuan mereka dalam menyumbang kepada pembangunan negara.

“Justeru, SBM turut ingin merakamkan penghargaan kepada majikan sektor awam dan swasta yang telah membuka peluang pekerjaan kepada golongan tersebut, sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang lebih inklusif,” katanya.

Selain itu, SBM turut menyeru lebih banyak organisasi dan syarikat untuk tampil memberikan peluang pekerjaan kepada OKU penglihatan yang kini semakin berpendidikan, berkemahiran tinggi serta memiliki keupayaan digital yang relevan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |