Polis sudah ada petunjuk positif kes Cikgu Chandra

6 hours ago 5

SHAH ALAM – Polis Selangor sudah memperoleh beberapa petunjuk positif dalam siasatan insiden khianat serta ugutan jenayah membabitkan aktivis, S. Chandrasegaran, 47, atau lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Chandra’ di kawasan perumahan Taman Kinrara, Puchong.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya bagaimanapun tidak dapat mendedahkan butiran lanjut kerana siasatan masih berjalan.

“Setakat ini, selepas ditaklimatkan pagi ini telah terdapat beberapa petunjuk positif bagi kedua-dua kes. Namun saya tidak boleh kongsikan kerana siasatan masih berlangsung.

“Kita akan memaklumkan perkembangan siasatan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Menurutnya, polis telah membuka kertas siasatan sejurus laporan dibuat dan tindakan awal telah diambil bagi mengenal pasti pihak terlibat.

Tegas Shazeli, pihaknya memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus dan adil kepada semua pihak tanpa sebarang unsur penganiayaan.

Dalam pada itu, Shazeli turut menasihatkan masyarakat supaya menghentikan sebarang spekulasi dan provokasi terutama yang menyentuh isu agama, kaum serta institusi diraja (3R).

Katanya, keadaan semasa yang hangat membabitkan isu agama dan kaum perlu dikawal bagi mengelakkan situasi menjadi lebih buruk.

“Saya seru masyarakat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengawal dan meredakan situasi ini termasuk rakan media supaya memainkan peranan dalam mengendurkan dan menurunkan suhu kehangatan isu-isu 3R.

“PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba memainkan atau menyemarakkan isu 3R,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427, Seksyen 506 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan berhubung dua laporan berasingan diterima dalam insiden menimpa Cikgu Chandra.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam, sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang disyaki menyerang rumah Chandra di Taman Kinrara.

Suspek yang memakai topeng hitam itu kemudian memecahkan cermin belakang kereta Perodua Viva miliknya serta merosakkan jeriji besi di hadapan rumah.

Dalam kejadian berasingan, sekumpulan individu dipercayai datang semula ke rumah Chandra kira-kira pukul 3.20 pagi tadi sebelum mencampakkan objek dipercayai bom petrol.

Tindakan itu menyebabkan sebuah kereta jenis Suzuki Ertiga milik Chandra musnah 100 peratus manakala Perodua Viva dan sebuah lagi kenderaan turut terjejas akibat kebakaran itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |