Orang ramai mula serbu bank tukar duit raya

3 hours ago 2

PETALING JAYA – Suasana di beberapa cawangan bank di sekitar ibu negara dan Lembah Klang mula dipenuhi orang ramai yang sanggup beratur panjang seawal pagi bagi menukar duit raya sebagai persiapan Aidilfitri.

Tinjauan menerusi perkongsian pengguna media sosial mendapati orang ramai dilihat berbaris di luar premis bank, malah ada yang mendakwa keadaan mula sesak sejak awal pagi lagi.

Rata-rata orang ramai dilihat tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan duit raya lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lebih teruk pada saat akhir menjelang sambutan Syawal.

Menerusi satu perkongsian di Threads, seorang pengguna memaklumkan suasana di sebuah cawangan bank di Jalan Gombak kelihatan meriah dengan kehadiran pelanggan yang datang khusus untuk urusan tersebut.

“Kemeriahan Maybank Jalan Gombak pada pagi tadi. Rasanya kebanyakan yang beratur sebab nak tukar duit raya ni,” tulisnya sambil berkongsi keadaan pelanggan beratur panjang di hadapan sebuah cawangan bank.

“Korang dah boleh tukar duit raya. Tukar awal tak kalut. Ni pun dah beratur sampai ke luar,” tulis @NanieyShahrom sambil memuat naik gambar suasana yang sama di sebuah bank lain.

“Pagi pagi dah ramai orang beratur tukar duit raya. Bertabah lah. Maybank Wangsa Maju,” tulis @Norhamizah91 pula.

Sementara itu, beberapa pengguna lain memaklumkan proses menukar duit raya termasuk waktu menunggu mengambil masa hampir dua jam.

“Pecah rekod hari ni beratur kat Maybank hampir dua jam semata-mata nak tukar duit raya. Beratur tunggu bank buka 30 minit. Tunggu giliran nak ke kaunter satu jam,” tulis @NurAmirahRosland.

“Suami tengah beratur tukar duit raya. Dari pukul 9 pagi sampai sekarang (pukul 2 petang). Sampai habis bateri telefon dia. Punya lama beratur,” komen @NoorShahierah.

Walaupun keadaan dilihat sesak, kebanyakan pelanggan dipercayai tetap beratur dengan tertib dan menunggu giliran masing-masing bagi memastikan urusan berjalan lancar.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |