TIDAK dinafikan lagu Rindu Hatiku Rindu dendangan penyanyi cilik, Tantari pada 2024 dan Korban Rindu nyanyian Putera Bobo (2025) begitu menyentuh hati dan mendapat sambutan hangat. Rindu Hatiku Rindu pernah berada di kedudukan #1 trending dalam YouTube selama 20 hari berturut-turut dengan 16 juta tontonan, manakala lagu Korban Rindu mencapai 1.3 juta tontonan.
Tahun ini, Tantari dan Putera Bobo tidak goyang kaki. Eddie Hamid yang bertanggungjawab mengangkat nama kedua-dua penyanyi tersebut menerusi lagu ciptaannya sebelum ini, mengambil inisiatif menggandingkan mereka dalam sebuah lagu raya.
Tantari atau nama penuhnya, Naufal Zahirul Azahel bin Mohd Alfian, 8, dan Putera Bobo yang nama sebenarnya, Putera Shah Nasratullah Mohd. Nasran, 14, disatukan menerusi lagu Tangisan 1 Syawal dengan lirik oleh Jaju, Hakim Hakimi dan Te Ha.
Menurut Eddie, selepas dendangan Tantari dan Putera Bobo mendapat sambutan, dia sememangnya berhasrat untuk menggandingkan mereka berdua dalam satu lagu.
“Impian saya nak satukan mereka dalam satu lagu berjaya dan idea saya turut disokong oleh Nova Music Malaysia. Lagu raya yang saya cipta untuk mereka bukan jenis ‘catchy’ tapi genre balada.
“Tangisan 1 Syawal bukan sekadar lagu sahaja kerana adalah sebuah kisah tentang kasih sayang antara dua orang adik-beradik yang merupakan anak yatim piatu.
“Lagu nyanyian Tantari dan Putera Bobo ini merupakan luahan hati bagi anak-anak yang kehilangan insan tersayang. Sebagai anak yatim piatu sendiri, saya dapat rasakan situasi tersebut. Saya yakin lagu nyanyian dua penyanyi cilik ini mampu menyentuh hati pendengar,” kata Eddie yang menghasilkan karya ini dengan tulus ikhlas.
Kedua-dua penyanyi ini tidak merakam lagu ini bersama kerana Tantari membuat rakaman di studio NAR, Kuala Lumpur, manakala Putera Bobo merakam vokalnya di K-Seventh Studio, Kelantan.
Bagi menjadikan lagu tersebut benar-benar menyentuh hati, video muzik Tangisan 1 Syawal turut melakukan penggambaran di rumah anak yatim dan tanah perkuburan.
Dalam muzik video Tangisan 1 Syawal, Tantari berlakon sebagai adik dan watak abang digalas Putera Bobo. Kedua-dua mereka tidak pernah bertemu sebelum ini dan pertama kali bertemu di set penggambaran.
Meskipun baru pertama kali bertemu, mereka cepat berkawan dan itu memudahkan proses penggambaran muzik video. Putera Bobo melayan Tantari seperti adiknya sendiri.
Ini merupakan lagu raya ketiga dendangan Tantari kerana sebelum ini lagu popularnya, Rindu Hatiku Rindu turut digubah menjadi lagu raya berjudul Rindu Hatiku Rindu Raya dan penyanyi cilik ini juga pernah merakam lagu Ragam Raya bersama Achey dan Baby Feaaa.
Sedih
Sementara untuk Putera Bobo, Tangisan 1 Syawal merupakan lagu raya pertama dendangannya.
“Mula-mula ingatkan dapat lagu raya rancak tapi rupa-rupanya lagu yang sedih. Apa pun saya rasa gembira kerana dapat pasangan duet baharu.
“Masa rakaman lagu ni, memang rasa sedih sebab saya bayangkan kawan-kawan seusia macam saya tak ada ibu bapa nak raya bersama,” kata Tantari.
Sementara itu, Putera Bobo mengakui tidak kekok melayan Tantari di set penggambaran kerana dalam kehidupan sebenar dia juga mempunyai dua orang adik dan merupakan anak ketiga daripada keluarga lima beradik.
“Alhamdulillah, akhirnya saya mempunyai lagu raya sendiri biarpun secara duet. Lagu Tangisan 1 Syawal rasa dekat di hati saya kerana bercerita tentang anak-anak yatim dan mengingatkan saya untuk selalu bersyukur.
“Selalunya, bila raya kita semua bergembira di samping keluarga tapi anak-anak yatim terutama yang masih kecil tiada mak ayah. Harap lagu ini dapat mengingatkan kita kepada insan-insan yang tidak bernasib baik. Jika ada kelapangan, ziarah dan railah mereka,” katanya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putra, Kampung Darau Jerteh, Terengganu.
Lagu Tangisan 1 Syawal terbitan Nova Music Malaysia kini boleh distrim dalam semua platform penstriman muzik digital manakala muzik video pula boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.

4 hours ago
3





![[VIDEO] Siapa ‘kait’ seluar dalam orang di Jempol?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-10-at-9.27.15-PM.jpeg)












![[VIDEO] Wanita haid boleh datang masjid ketika solat raya – UAI](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/Majlis-Ilmu-Madani-di-Masjid-Putra-di-sini-malam-ini..jpeg)






























