ORANG kita sering benar menyaksikan konsert solo atau gabungan vokalis rock, penyanyi nasyid atau penyanyi hebat dua negara seperti Malaysia, Indonesia. Idamkan sahaja penyanyi popular mana yang hendak disaksikan di pentas, jika ada rezeki dan kesempatan waktu secara kebetulan, hajat tersebut tiada masalah untuk dipenuhi. Konsert lagu raya pun Datuk M. Nasir pernah buat.
Tahun ini, satu lagi sejarah baharu bakal dinikmati penggemar konsert artis apabila empat figura tanahair dengan pelbagai pencapaian dan pengaruh melalui karya masing-masing, daripada generasi berbeza akan berkongsi pentas buat ulung kalinya dalam sebuah konsert. Lebih menarik, empat figura itu terdiri daripada penyanyi kesayangan Malaysia yang mempunyai pertalian darah daging menyatu dalam institusi kekeluargaan.
Dibawakan Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse, sebuah konsert yang dimaksudkan adalah Empat Live In Kuala Lumpur 2025. Tidak cukup kembali menjadi kolaborasi adik-beradik Anuar dan Ziana Zain, kali ini kebersamaan ‘famili singer’ itu dihangatkan dengan kehadiran si anak saudara, Ernie Zakri serta suami, Syamel yang bukan calang-calang pengaruhnya juga.
Dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bukan sekadar sebuah konsert tetapi perlambangan cinta, kasih dan sayang serta silatulrahim bakat hebat Malaysia daripada generasi dan usia berbeza.
“Ini adalah sebuah projek yang sangat mengujakan kerana tidak ada salah seorang pun daripada kami pernah terfikir bahawa pada akhirnya takdir membawa kami ; saya dan kakak, Ziana serta anak buah kami Ernie dan suaminya, Syamel akan terlibat dalam industri yang sama sebagai penghibur dan bakal menghiburkan anda diatas satu pentas.
“Sebenarnya konsert ini telah lama dirancang, boleh dikatakan sejak dua tiga tahun yang lalu. Namun melihatkan jadual kerja yang padat serta komitmen ke-empat penyanyi yang terlibat, pihak penganjur dan pengurusan perlu mencari masa yang tepat dan sesuai untuk melaksanakan konsert ini.
“Alhamdulillah tahun ini bakal menyaksikan Empat Live In Kuala Lumpur 2025 dapat direalisasikan juga sesuai perancangan.”
“Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 ini bukan tentang kami tapi tentang ikatan kekeluargaan, bakat yang diraikan dan cara kami menghargai sokongan peminat daripada semua generasi terhadap karya-karya yang pernah dan bakal dilahirkan.
“Kami dengan rendah hati berharap agar semua peminat dapat menikmati Empat Live In Kuala Lumpur 2025 dengan ‘semangat cinta dan kasih sayang’ yang besar untuk satu sama lain,” ujar Anuar Zain.
Bagi pelantun Madah Berhelah, Ziana Zain, penganjuran Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bakal menjadi menjadi sebuah temasya meraikan cinta di antara beberapa generasi bersama peminat peminat yang hadir.
“Konsert ini seperti temasya yang berjaya direalisasikan selepas mendapat banyak permintaan dalam kalangan peminat. Peminat hadir ke sebuah konsert tetapi menikmati karya daripada dua generasi; generasi saya, Anuar, Ernie serta Syamel.
“Saya juga tidak mahu menjanjikan sesuatu yang luar biasa tapi datanglah dan menikmati Empat Live In Kuala Lumpur 2025 dengan sebaiknya. Saya mahu peminat pulang daripada konsert kami yang penuh magis dengan momen yang indah.
“Konsert ini juga akan menjadi bukti bahawa peminat kita tidak hanya menyokong seorang sahaja penyanyi kegemaran mereka tetapi selalu memberi dukungan kepada industri muzik tempatan,” kata Ziana Zain.
Buat Ernie Zakri, dirinya berdebar kerana tidak pernah bekerja dalam skala besar bersama Ziana dan Anuar Zain.
“Sebagai penghibur legenda, Ziana dan Anuar telah membuat debaran saya berkurang kerana sangat terbuka dan profesional menerima kami (Ernie dan Syamel) bekerjasama dalam konsert berskala besar ini.
“Saya menangis selepas dilamar merealisasikan konsert bersama ibu dan bapa saudara yang selama ini sangat saya kagumi dengan membesar melihat bagaimana mereka berusaha keras untuk berjaya.
“Empat Live In Kuala Lumpur 2025 adalah sebuah impian saya dari sejak lama lagi dan bakal menjadi realiti tidak lama lagi,” ujar Ernie yang berterima kasih kepada Anuar Zain Network.
Terharu menerima label Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bakal menjadi medan ‘pesta vokal’, Ernie mahu meninggalkan kenangan manis dalam konsert yang akan berlangsung pada 18 Oktober ini.
Bersetuju dengan Ernie, Syamel menyifatkan pembabitan dalam Empat Live In Kuala Lumpur 2025 juga sebagai sebuah mimpi menjadi kenyataan. Apatah lagi sebagai ‘keluarga baharu’ pesohor legenda tanah air, dirinya berasa karier seninya telah naik ke satu tahap yang lebih baik melalui peluang keemasan ini.
“Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri ; masing-masing adalah legenda. Justeru apa yang saya lihat dengan kerjasama kami berempat dalam Empat Live In Kuala Lumpur 2025 menerusi energi masing-masing boleh membuahkan konsep persembahan yang menarik,” kata Syamel.
Melancarkan agenda, konsert empat nama besar itu meminjam khidmat Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert manakala Sze Wan pula bertindak sebagai pengarah muzik.
“Keempat-empat mereka adalah penyanyi dan penghibur yang hebat, tetapi apa yang menjadikan persembahan ini magis ialah setiap seorang daripada mereka mempunyai gaya istimewa yang tersendiri. Peluang untuk bekerjasama dengan bakat dan repertoire sebesar ini ibarat seorang kanak-kanak di kedai gula-gula.”
“Akan ada banyak detik istimewa untuk para peminat yang hanya boleh dialami dalam persembahan ini, kolaborasi serta peluang untuk menyanyi bersama lagu-lagu pop terbesar yang merentasi empat dekad. Konsert ini 100 peratus hiburan untuk seisi keluarga dan semua peringkat umur,” tambahnya Jennifer.
Tiket-tiket konsert berharga RM288 (Bronze), RM388 (Silver), RM488 (Gold), RM688 (Platinum), RM888 (Diamond), RM1,088 (VIP) dan RM2,088 (Royal Twin Seat – dua tiket) sudah boleh didapati menerusi https://www.ticket2u.com.my/empatkl bermula 25 April.
Istimewanya, golongan kelainan upaya (OKU) turut mempunyai ‘talian’ khas dengan menghubungi hotline +6011-1190 0518 untuk mendapatkan tiket Empat Live In Kuala Lumpur 2025 . – KOSMO! ONLINE