KUALA LUMPUR – Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski masih mahu ‘menutup mulut’ apabila enggan mengesahkan mana-mana pemain warisan baharu yang akan sertai pasukan untuk hadapi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.
Bagaimanapun jurulatih dari Australia itu mengakui bola sepak di Malaysia agak istimewa terutamanya selepas melihat minat yang ditunjukkan oleh peminat terhadap calon pemain warisan.
“Buat masa sekarang kamu lebih tahu daripada saya, ramai pemain di luar sana yang bermain di media dan wujud banyak spekulasi. Saya tetap menghormati semua itu tetapi kamu yang lebih mengetahui daripada saya.
“Terdapat ramai (pemain warisan) dalam senarai pemain yang bermain di luar, semua ini melalui proses untuk dimuktamadkan dan saya tidak terbabit dalam semua ini. Tetapi saya sentiasa katakan kami berada di sini untuk menjadikan bola sepak Malaysia sesuatu yang istimewa.
“Mana-mana pemain boleh terpilih tetapi kami mahu lakukan sesuatu yang boleh buatkan rakyat Malaysia bangga setiap kali kami bermain. Siapa pun yang akan bermain dan menyarung jersi ini, mereka adalah orang Malaysia,” katanya.
“Saya dapat rasakan semangat penyokong Malaysia dan inilah yang saya rasakan Malaysia mempunyai sesuatu yang istimewa,” katanya.
Ketika ini, Jefte Betancor, Jon Irazabal dan Rodrigo Holgado dikatakan makin hampir untuk memperkuatkan Harimau Malaya bagi hadapi Vietnam pada perlawanan kedua Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027.
Dalam masa sama, Cklamovski menafikan keputusan untuk menentang Cape Verde secara tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini sebagai langkah untuk ‘menyorok’ pemain warisan baharu daripada diketahui Vietnam.
“Ini adalah persediaan kami untuk lawan Vietnam yang kuat dan kami hormati mereka namun kami juga ada lawan (Cape Verde) yang perlu ditentang. Persahabatan ini akan bantu kami untuk harungi fasa akhir sebelum bertemu Vietnam.
“Kenapa tertutup, ia disebabkan kami mahu jadi lebih baik daripada faktor fizikal dan kami mahu bermain pada tempo yang tinggi. Kami mahu bermain dengan format berbeza, bukannya 45 minit setiap babak sebaliknya kami kawal masa permainan,” katanya. – KOSMO ONLINE