36 anggota termasuk tujuh pegawai tamat kursus asas UTK

1 day ago 6

KUALA LUMPUR – Seramai 36 anggota termasuk tujuh pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menamatkan Kursus Asas Unit Tindak Khas (UTK).

Majlis Penganugerahan Beret dan Penutupan Kursus Asas Kawalan Rapat Keselamatan Siri 1/2025 itu menyaksikan peserta diraikan selepas melalui tempoh latihan mencabar selama hampir enam bulan bermula dengan proses pemilihan yang ketat dari segi mental, fizikal dan psikologi.

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Jabatan KDNKA Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis MV Sri Kumar berkata, kadar kelulusan kursus tersebut sangat rendah iaitu sekitar 15 hingga 18 peratus sahaja daripada jumlah pemohon keseluruhan.

“Daripada ratusan yang memohon, hanya mereka yang benar-benar layak akan dipilih berdasarkan pelbagai aspek seperti rekod perkhidmatan, stamina, semangat, disiplin dan kecenderungan individu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, selepas lulus kursus asas, peserta akan mengikuti siri kursus lanjutan seperti lagi untuk melengkapkan kemahiran sebagai operatif UTK yang sebenar.

Sementara itu, Izzul, dari Pasir Mas, Kelantan antara yang berjaya menamatkan kursus itu berkata, beliau sebelum ini bertugas sebagai pegawai penyiasat jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Lubok Antu, Sarawak selama lebih dua tahun.

“Latihan UTK sangat mencabar, terutama semasa seleksi awal dan ujian ketahanan empat jam, ini antara keputusan paling besar dalam hidup saya,” katanya yang menyertai PDRM pada Disember 2021.

Sementara itu, satu-satunya peserta wanita, Intan dari Bagan Serai, Perak turut mengakui tidak mudah untuk bertahan dalam kursus yang dikelilingi hampir 100 peratus peserta lelaki.

“Tipulah kalau kata tak pernah terfikir nak putus asa, tapi saya kuat kerana dorongan rakan-rakan.

“Saya terus cekal menjalani latihan dan amat bangga dengan pencapaian saya sekarang ini,” kata graduan Ijazah Teknologi Bahan dari Universiti Malaysia Kelantan itu.

Menurut Intan, dia tidak memaklumkan hasrat menyertai UTK kepada ibu bapanya sehingga selepas lulus seleksi kerana bimbang akan dibantah.

“Awalnya mereka terkejut dan risau sebab saya perempuan. Tapi selepas saya jelaskan dan tunjukkan kesungguhan, mereka akhirnya reda dan terus menyokong saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |