MEKAH – Meskipun terpaksa menunaikan haji berseorangan pada usia yang muda, seorang graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) tetap cekal menjalani ibadah itu walaupun kadangkala terasa sunyi bersendirian.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan UUM, Nur Fasihah Athirah Abdul Halim, 24, berkata, dia datang bersendirian selepas ahli keluarganya sudah menunaikan haji pada tahun lalu.
“Saya mendapat panggilan haji bersama keluarga tahun lalu, namun terpaksa tangguh kerana saya belum habis belajar lagi.
“Kali ini sepatutnya datang dengan ayah tapi dia macam tak larat jadi saya buat keputusan pergi bersendirian,” katanya ketika ditemui ketika tiba di Abraj Al Janadriyah, sini dari Mina selepas selepas melaksanakan nafar thani.
Kata anak bongsu daripada lima beradik itu, pengalaman paling mencabarnya adalah di Mina apabila terpaksa bersendirian di dalam khemah tanpa keluarga dan rakan.
“Di Mina sangat mencabar sebab Ya Allah, tak tahu nak kata apa. Sendirian terasa sunyi, semua orang ada kumpulan masing-masing, walaupun ada kawan tetapi terpisah dengan saya dan tidak boleh berhimpit dalam khemah itu.
“Meskipun saya dikelilingi orang yang baik-baik di dalam khemah, saya tetap terasa keseorangan tetapi saya menggunakan peluang keseorangan itu untuk berzikir, membaca al-Quran, berehat dan beribadah,” katanya.
Dia menggunakan peluang berwukuf di Arafah untuk berdoa sebanyak mungkin selain membacakan doa dikirim orang lain.
“Saya doakan untuk mereka, namun yang paling penting, saya mendoakan kawan-kawan saya yang masih sihat, masih muda dipanggil ke sini sebab pentingnya pergi waktu muda.
“Ketika ini saya berdoa agar dipermudahkan urusan untuk mendapat pekerjaan. Bersyukur dan terima kasih buat mama sebab daftarkan Adik dan adik-beradik lain awal-awal walaupun Adik pergi seorang, Adik takkan lepaskan peluang ini,” ujarnya.
Kata Nur Fasihah Athirah, ibunya telah menabung dan mendaftar dengan Tabung Haji (TH) sejak 16 tahun lalu ketika berusia lapan tahun.
“Mak selalu letak duit RM50 dalam Tabung Haji setiap bulan, namun bila raya akan dapat duit lagi jadi mak simpan. Mula-mula saya dapat panggilan perlu bayar untuk kategori M40.
“Saya kan penuntut, jadi saya buat permohonan, alhamdulillah saya hanya perlu buat pembayaran B40. Alhamdulillah Allah SWT panggil saya masih muda,” katanya.
Dalam pada itu, dia menasihatkan golongan seusianya untuk berusaha menunaikan haji pada waktu muda dan masih sihat.
“Ibadah haji ini susah, kita kena banyak berjalan, terlalu penat. Saya tak boleh bayangkan dengan mereka yang berusia, memang mereka sangat kuat untuk menunaikan haji. Buat haji ini bukan senang jadi saya dah lega, satu rukun Islam saya dah dapat,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE