IPOH – Penceramah bebas, Zamri Vinoth dan aktivis, Tamim Dahri digesa tampil menyerah diri kepada polis bagi membantu siasatan berhubung isu yang mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama di negara ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, siasatan akan dijalankan terlebih dahulu bagi menentukan sama ada mereka bersalah atau sebaliknya, sebelum keputusan muktamad diputuskan mahkamah.
“Saya difahamkan kedua-dua individu terbabit telah pun berada di luar negara dan pihak polis sedang mengesan mereka.
“Saya harap mereka akan menyerah diri dengan datang kepada polis untuk disiasat. Sama ada mereka salah atau tidak, keputusan itu akan dibuat oleh mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di Kampung Tasek, di sini hari ini.
Menurut beliau, perkara paling penting ketika ini adalah memastikan keadaan kembali tenang dan tidak menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, sebagai sebuah negara majmuk yang mempunyai pelbagai kaum dan agama, setiap pihak perlu memahami sensitiviti masyarakat lain.
“Kalau kita mahu bercakap mengenai agama sendiri tidak menjadi masalah tapi jangan kritik agama orang lain. Perkara itu tidak boleh diterima di negara ini.
“Kalau ada apa-apa kesalahan, biar kerajaan yang ambil tindakan. Jangan sesekali mengambil undang-undang di tangan sendiri kerana tiada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat melahirkan keyakinan bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya walaupun mungkin terdapat sedikit kelewatan dalam proses siasatan.
“Saya harap tindakan susulan dapat diambil dengan segera. Jika perkara seperti ini tidak ditangani dengan baik, ia boleh menimbulkan keadaan huru-hara dalam negara,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dalam kenyataan memaklumkan, Zamri dan Tamim dipercayai telah meninggalkan negara ini dan melarikan diri ke Thailand.
Beliau berkata, usaha mengesan kedua-dua suspek itu sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2



![[VIDEO] Monyet ‘pesta’ beras infak Ramadan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/BERAS-INFAK-RAMADAN-MURID.jpeg)













































