JOHOR BAHRU – Seorang pemandu kereta jenis Audi A6 diberkas selepas merempuh dua motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kilometer 8, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu, dua anggota polis masing-masing berusia 29 dan 36 tahun sedang bertugas mengawal lalu lintas di lokasi kemalangan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, salah seorang anggota polis cedera pada kaki kiri dan dikejarkan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini manakala seorang lagi terselamat.
“Siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu lelaki berusia 23 tahun itu dari arah Skudai itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar dua motosikal jenis Kawasaki EX250 milik URB yang diletakkan berhampiran lokasi kejadian.
“Seorang daripadanya cedera pada kaki kiri dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru, manakala seorang lagi anggota serta pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Balveer Singh berkata, hasil saringan ujian pernafasan alkohol terhadap pemandu berusia itu didapati positif, manakala ujian awal air kencing pula negatif dadah.
Katanya, suspek direman selama dua hari bermula sehingga esok selepas mendapat kebenaran Mahkamah Johor Bahru.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah,” katanya.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000 selain penggantungan lesen memandu selama 10 tahun.
Balveer Singh turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Noor Azlina Abdul Raof di talian 019-7432966. – KOSMO! ONLINE