[VIDEO] Mahkamah benar suami Jahidah tangguh penjara 10 tahun

2 weeks ago 20

JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan rayuan peniaga untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 10 tahun yang dikenakan ke atasnya kerana mencederakan isterinya sehingga parah sementara menunggu rayuan dilupuskan.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu terhadap pemohon, Rosmaini Abd Raof, 42, yang menjalani hukuman penjara bermula 9 Disember tahun lalu.

Abu Bakar membuat keputusan itu selepas meneliti hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd Said dan peguam mewakili pemohon, Kamal Hisyam Jaafar dan Muhammad Nor Tamrin yang bersidang pada 7 Februari lalu.

Dalam keputusannya menyatakan bahawa mahkamah menggunakan budi bicara berdasarkan Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan tidak dipengaruhi oleh pandangan umum yang tular di media sosial.

“Mahkamah turut mengambil kira isu bermerit dalam rayuan, termasuk dakwaan percanggahan dalam keterangan saksi utama dengan dokumen berkaitan serta keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan saksi itu dipanggil semula oleh pembelaan.

“Berdasarkan alasan tersebut, mahkamah membenarkan permohonan penangguhan hukuman dengan beberapa syarat antaranya jaminan bercagar sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta keperluan pemohon melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan sehingga rayuan selesai,” katanya.

Hakim turut menetapkan bahawa jika pemohon gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, perintah penggantungan hukuman akan terbatal serta-merta dan waran mempenjara akan dikeluarkan.

Mahkamah turut menetapkan 7 April depan sebagai tarikh sebutan semula rayuan kes.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini pada 9 Disember tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun selepas didapati bersalah mencederakan isteri ketiganya sehingga parah.

Kes keganasan rumah tangga yang berlaku ke atas Jahidah, 47, yang kini terlantar koma seperti mayat hidup mendapat perhatian selepas dibelasah bekas suaminya itu dalam kejadian di sebuah rumah di Larkin, di sini, 4 Mei 2021.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |