VGM labur RM205 juta pasang Audi, Volkswagen di Pekan

22 hours ago 7

PEKAN – Kumpulan Volkswagen Malaysia (VGM) melabur sebanyak RM205 juta bagi pemasangan tempatan (CKD) model kereta Audi dan Volkswagen di negara ini.

VGM merupakan pengeluar bagi jenama Audi dan Volkswagen di Malaysia dengan kilang pemasangannya di Pekan, Pahang.

Pengarah Urusan VGM, Susanne Lehmann berkata, pelaburan strategik itu melihat kepada potensi Malaysia sebagai hab pengeluaran serantau bagi jenama automotif dari Jerman tersebut.

Jelasnya, Q7 merupakan model pertama Audi yang dipasang secara tempatan untuk pasaran Malaysia dan Asia Tenggara.

“Kilang pemasangan di Pekan, Pahang mula menerima penghantaran pertama kit kereta Audi Q7 untuk pemasangan tempatan pada September tahun lalu dan proses pengeluaran bermula April tahun ini.

“Dengan memasang beberapa model kenderaan utama di sini, Audi boleh menawarkan harga yang lebih kompetitif berbanding kereta diimport sepenuhnya (CBU),” katanya pada Majlis Pelancaran CKD bagi Audi Q7 di sini, semalam.

Menurut Susanne, kilang di Pekan yang berkeluasan 18,000 meter persegi beroperasi dengan lebih 90 pekerja tenaga mahir baharu sejak Februari lalu dan menjadi persediaan ke arah pemasangan model kenderaan elektrik (EV).

“Untuk model Audi, ia mampu memasang tiga unit kereta sehari dengan kapasiti pengeluaran 300 hingga 500 unit setahun,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Susanne berkata, pasaran eksport Malaysia untuk kenderaan Audi dan Volkswagen meliputi negara Indonesia, Thailand serta Vietnam yang dijangka bermula pada tahun hadapan.

“Keputusan untuk memulakan pengeluaran model Q7 adalah langkah strategik bagi mengembangkan portfolio Audi.

“Kami mementingkan aspek teknologi dan mahu beralih kepada pengeluaran kenderaan elektrik (EV) secara berperingkat,” katanya.

Jelas Susanne, bagi merealisasikan hasrat tersebut pihak syarikat perlu melatih tenaga kerja dan memperkenalkan teknologi baharu sebagai asas pengeluaran EV.

Model Audi Q7 keluaran tempatan akan berada di pasaran Mei ini, ditawarkan pada harga antara RM469,000 hingga RM489,000.

Ia tampil dengan rekaan sporty melalui kemasan S line dan Black Styling Package Plus, termasuk rim 22 inci dan logo Audi kelabu.

Dari segi kuasa, Q7 dijana oleh enjin 3.0L V6 TFSI dengan sistem Kenderaan Elektrik Hibrid Ringan (MHEV) 48 volt menjana kuasa 340PS dan tork 500Nm, sistem pacuan quattro bersama 8-kelajuan Triptronic serta mod pemanduan Audi Drive Select. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |