‘Usia 66 tahun, aura cantik Maria Arshad macam wanita muda’

3 weeks ago 15

MARIA Arshad, satu nama yang pernah mencipta sensasi tersendiri pada era kegemilangannya sekitar tahun 1980-an. Berbekalkan kejelitaan dan penampilan seksi, Maria bukan sahaja menjadi buruan karyawan, bahkan digilai para pemuja.

Suatu masa dahulu, wajahnya berulang menjadi penghias muka depan majalah-majalah hiburan popular. Kini pada usia 66 tahun, Datin Maria Arshad atau nama sebenarnya, Kamariah Arshad kekal dengan aura menawan. Jika dilihat pada susuk langsingnya, pasti ramai wanita yang ‘makan hati’. Mana tidaknya, tubuhnya tidak ubah seperti orang muda.

Lama sebenarnya khalayak tidak mendengar cerita tentang ibu kepada pelakon Ijoy Zahari itu. Sesekali kelibat beliau terlintas dalam akaun media sosial menantunya iaitu pelakon dan pengacara popular, Sharifah Shahirah.

Maria pernah jatuh sakit sehingga dimasukkan ke ICU. Selain ada masalah kesihatan, beliau percaya semua itu berpunca daripada sakit menanggung rindu buat suami yang telah tiada.

“Kenapa nak interviu aunty. Aunty tak ada cerita menariklah,” getusnya kepada HibGlam bersulam senyuman dalam satu pertemuan di sebuah kafe baru-baru ini.

Tambah ibu kepada lima orang anak itu lagi, sudah bertahun beliau tidak melakukan sesi temu bual bersama media.

Selalunya beliau akan menolak dengan cara baik. Namun entah apa yang melembutkan hati bintang Langit Tidak Selalu Cerah itu, pelawaan HibGlam tidak dipersiakan.

Memulakan perbualan tentang persaraannya dari dunia lakonan yang pernah menjadi punca rezeki, rupa-rupanya sudah hampir 30 tahun Maria tidak berlakon.

“Sejak melahirkan anak bongsu 28 tahun lalu, saya berhenti berlakon kerana ingin fokus menjaga anak-anak dan keluarga.

“Pada mulanya saya ingat bila mereka sudah besar sedikit, saya mahu kembali berlakon. Tetapi perkara itu tidak terjadi. Tetapi saya gembira dapat membesarkan anak-anak dan meluangkan sepenuh masa dengan mereka.

“Semasa hayat, arwah suami sama sekali tidak pernah menghalang saya untuk berlakon. Mungkin itu apa yang orang luar fikirkan,” katanya yang pernah terus mencipta populariti menerusi filem pertama Langit Tidak Selalu Cerah itu.

PADA usia 66 tahun, aura kejelitaan pelakon era 1980-an, Maria Arshad ini masih terserlah. Beliau kekal menawan gaya dalam seorang bintang biar sudah hampir tiga dekad bersara daripada dunia seni.
– Mohd Farizwan

Dalam tempoh 28 tahun juga, Maria telah banyak menolak tawaran berlakon. Malah sehingga ke hari ini masih ada tawaran yang datang.

“Memang ada tawaran sampai sekarang. Biarpun sudah 28 tahun saya tidak berlakon. Tetapi sebab sudah terlalu lama saya tinggalkan set penggambaran, saya takut tidak dapat memberikan komitmen yang sepatutnya.

“Anak dan menantu saya pun ada juga memujuk untuk terlibat dengan lakonan. Tetapi sesekali saya muncullah dengan mereka dalam rancangan televisyen. Itupun selepas puas dipujuk dan jalani penggambaran di rumah sahaja,” ujarnya.

Sejak kematian arwah suaminya, Allahyarham Datuk Abd. Rahman Abu Bakar pada tahun 2022 akibat jangkitan Covid-19, Maria akui kini lebih banyak melakukan aktiviti bersama rakan-rakannya dan menjaga cucu-cucu untuk menghilangkan kesunyian, sekali gus membasuh kerinduan terhadap arwah suami.

“Suami meninggalkan saya dalam keadaan mengejut. Mulanya arwah ke hospital untuk buat pemeriksaan. Dia terjatuh dan terus ditahan. Selepas diperiksa rupa-rupanya dia dijangkiti Covid-19, tetapi sebelum itu arwah memang ada sakit-sakit.

“Sepanjang di hospital, dia dikawal rapi. Tiada pelawat yang dibenarkan. Tetapi Ijoy berusaha untuk pastikan saya dapat melihat suami saya.

MARIA ketika ditemu bual wartawan HibGlam, Helmi Anuar bersama jurufoto, Mohd. Farizwan.

“Alhamdulillah saya dapat melihat wajahnya sekali sahaja sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

“Urusan pengkebumian pun dilakukan pihak hospital kerana harus mengikut prosedur jenazah yang dijangkiti Covid-19.

“Walaupun saya dihalang untuk pergi ke tanah perkuburan, tetapi saya tetap pergi walaupun hanya dapat melihat dari jauh,” ceritanya mengenang detik yang penuh duka itu.

Ceritanya lagi, disebabkan asyik terkenang arwah suami dan menanggung rindu yang teramat dalam, beliau pernah jatuh sakit dan dikejarkan ke hospital sehingga terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

“Saya memendam perasaan kehilangan arwah sehingga akhirnya jatuh sakit. Sebagai seorang yang sangat menjaga kesihatan, saya sendiri tak sangka saya akan jatuh sakit sehingga dimasukkan ke ICU.

“Mungkin disebabkan pernah dijangkiti Covid-19, sebelum ini. Jadi paru-paru saya terkesan,” kongsinya.

Sempat juga penulis bertanya tentang rahsia penjagaan tubuh yang masih kelihatan seperti orang muda. kata Maria, sebelum jatuh sakit dahulu, beliau sangat rajin bersenam.

“Dahulu saya suka senam aerobik. Sehari dua kali saya buat. Pagi dan petang. Dari segi pemakanan, saya makan sahaja semua benda. Tetapi selepas jatuh sakit, ada makanan yang saya tidak boleh makan,” kongsinya.

SELAIN menjaga dan bermain dengan cucu, Maria turut aktif bersama kaum ibu dan rakan-rakannya menjayakan program kebajikan untuk membantu golongan memerlukan.

‘Mentua, menantu syurga’

Jika pembaca mengikuti perkembangan Sharifah Shahirah atau Shiera dalam media sosial, pasti khalayak tahu betapa akrabnya hubungan Shiera dengan ibu mentuanya ini. Senang cerita, mereka ibarat menntua dan menamtu dari syurga.

Akui Maria, beliau dan menantunya saling memahami dan perkara itu yang mengeratkan hubungan mereka.

“Saya bersyukur mempunyai menantu seperti Shiera, dia seorang yang sangat memahami. Saya juga bersyukur dapat besan yang baik seperti ibu Shiera. Kami tidak pernah ada rasa cemburu terhadap satu sama lain.

“Saya tidak pernah masuk campur urusannya dengan keluarga. Dia pun tak pernah halang atau marah jika Ijoy mahu luangkan masa dengan saya.

“Walaupun selalu sibuk, Shiera ambil berat soal keluarga. Saya bertuah memilikinya sebagai menantu,” ungkap Maria yang turut mempunyai tiga orang anak perempuan, Norazlina, Puteri Nabilla Manissa dan Natasha Munira.

Read Entire Article
Pertanian | | | |