Usia 54 tahun, Afdlin Shauki timang anak dengan isteri baharu

1 day ago 6

KUALA LUMPUR – “Dapat anak, rasa diberi peluang kedua.”

Demikian kata pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki 54, yang mendedahkan khabar gembira menimang anak perempuan 10 bulan lalu.

Anak yang diberi nama Inayah itu adalah hasil perkongsian hidup bersama Datin Marcella yang dinikahi pada Ogos 2023.

“Dapat anak kecil pada usia sekarang dan kembali menjadi bapa rasa seronok.

“Mungkin kerana dulu sebagai bapa yang muda kita sibuk pulun kerja untuk memastikan anak mendapat kehidupan yang baik.

“Akhirnya tidak jumpa dan tahu-tahu anak sudah besar. Sekarang saya lebih stabil dan ada banyak masa untuk bersama anak sebab saya tahu banyak buat silap masa dulu,” kata Afdlin.

Meskipun gembira dengan kehadiran cahaya mata baharu, Afdlin kekal dengan pendiriannya untuk menjaga privasi keluarganya.

Justeru itu, beliau memilih untuk tidak mendedahkan wajah anaknya kepada umum sehingga berusia lebih dua tahun.

“Sebenarnya daripada zaman saya bersama dengan isteri pertama (bekas isteri) pun kita jarang dedahkan keluarga kerana tahu mereka inginkan privasi.

“Biarlah orang hanya kenal saya, kalau hendak kecam atau kutuk biarlah saja sahaja yang kena bukan keluarga.

“Saya akan dedah dia (Inayah) pada umum apabila umur melebihi dua tahun. Ada orang daripada ‘baby’ sudah tunjuk anak sebab mahu dapat tajaan tetapi itu bukan kehidupan keluarga saya. Kami mementingkan privasi,” jelas Afdlin.

Tambah Afdlin, sebagai bapa beliau terpaksa bersikap terlalu melindung kerana bimbang dengan pelbagai kejadian yang tidak diingini.

“Dunia kita sudah makin pelik dengan pelbagai benda berlaku, saya mahu pastikan keluarga saya berada dalam keadaan selamat dan mendapat privasi yang mereka mahukan.

“Seperti anak saya Mia, dia tidak gunakan nama saya sebab mahu berjaya dengan bakat sendiri tapi kalau nak guna nama saya pun boleh tiada masalah,” ujar Afdlin yang ditemui pada majlis rumah terbuka produksi Global Station baru-baru ini.

Sebelum Inayah, Afdlin turut mempunyai tiga cahaya mata iaitu Mia Sara, Anais dan Ileana Matin bersama bekas isterinya, Maria Christina Orow Abdullah. – KOSMO!ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |