WASHINGTON – Seorang senator kanan Amerika Syarikat (AS) membangkitkan kebimbangan bahawa negara itu dan Israel telah mengheret Asia Barat ke dalam krisis yang semakin meningkat selepas melancarkan perang ke atas Iran, dengan mengatakan bahawa Presiden Donald Trump semakin hilang kawalan terhadap konflik tersebut.
Senator Demokrat, Chris Murphy menyampaikan amaran itu dalam beberapa catatan di platform X, dengan alasan bahawa perang itu telah pun menyebabkan rantau tersebut berada dalam lingkaran keganasan, lapor laman berita Middle East Eye.
“Kini jelas sekali bahawa Trump telah kehilangan kawalan terhadap perang ini. Beliau telah salah menilai keupayaan Iran untuk membalas dendam. Rantau itu sedang terbakar,” tulis Murphy.
Beliau berkata, krisis pertama berpusat di Selat Hormuz, koridor perkapalan sempit yang mana lebih 20 peratus bekalan minyak dan gas dunia dibawa melaluinya.
Murphy memberi amaran bahawa Washington memandang rendah keupayaan Tehran untuk mengganggu laluan tersebut.
“Trump percaya Iran tidak akan menutup Selat Hormuz. Beliau salah. Dan sekarang harga minyak sedang melonjak naik,” tambahnya.
Tambgah Murphy, penggunaan dron, bot laju dan periuk api oleh Iran menjadikan laluan air itu sangat sukar sambil menambah bahawa senjata-senjata itu tidak dapat dihapuskan.
“Ia terlalu banyak, terlalu tersebar dan tersembunyi,” ujar beliau.
Murphy berkata, mengiringi kapal tangki melalui selat itu akan meletakkan pasukan tentera laut AS dalam risiko yang serius.
Tambah beliau, konflik itu juga berkembang secara geografi.
“Perang serantau yang lebih luas sedang meletus apabila proksi Iran di Lubnan menyerang Israel dan proksi di Iraq menyasarkan AS. Israel kini mengancam pencerobohan darat besar-besaran ke atas Lubnan, yang boleh menjadi krisis baharunya sendiri,” kata Murphy.
Krisis terakhir kata Murphy adalah ketiadaan sebarang rancangan untuk menamatkan perang. “Trump tidak mempunyai matlamat akhir. Iran dan proksinya boleh mewujudkan huru-hara selama-lamanya.” – AGENSI

14 hours ago
7
![[VIDEO] Moga pencuri dapat hidayah – Anak mangsa](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-15-at-9.15.11-PM.jpeg)


![[VIDEO] ‘Fatin, kuruslah kau raya ni’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-15-at-6.27.49-PM.jpeg)













































