Tragedi Bukit Kepong: ‘Peluru kena perut ayah hingga terburai’

2 weeks ago 15

MUAR – Salah seorang ahli keluarga anggota polis yang gugur dalam pertempuran tragedi berdarah Bukit Kepong tidak dapat melupakan peristiwa bapanya di tembak komunis ketika bersarapan, 75 tahun lalu.

Menurut Zaleha Ahmad, 71, anak kepada Allahyarham Ahmad Muhammad Jaafar, bapanya yang berkhidmat sebagai ‘mata-mata’ ditembak komunis di berek polis Bukit Kepong ketika sedang bersarapan bersama keluarga.

“Ketika kejadian pada kira-kira pukul 4.30 pagi itu, saya masih lagi bayi berusia tiga bulan. Bapa, ibu dan kami tiga beradik sedang bersarapan di rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi tembakan.

“Ibu saya, Allahyarham Marian Ibrahim sering berkongsi kisah tragedi hitam itu dengan kami adik-beradik. Bapa saya membuka tingkap rumah dan terkena tembakan komunis di bahu sebelum rebah.

“Bapa sempat arahkan ibu sembunyikan kami dalam peti besi di berek polis tapi tak sempat kerana komunis sudah tercegat di depan pintu lalu lepaskan tembakan kepada bapa saya lagi. Peluru terkena perut ayah hingga terburai,”katanya sayu.

Beliau ditemui pada Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong di Galeri Darurat Bukit Kepong yang dirasmikan Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, hari ini.

Tambah Zaleha, pihak komunis kemudiannya meminta ibu saya membawa kami adik-beradik ke tepi sungai.

Ibu yang mendukung abang saya yang ketika itu berusia tiga tahun diacukan senapang untuk dijadikan tebusan bagi memujuk tiga lagi anggota polis di balai polis untuk menyerah diri.

Zaleha menambah, anggota polis terbabit tetap berkeras sanggup menggadaikan nyawa demi mempertahankan balai polis Bukit Kepong.

“Selepas komunis masuk ke dalam hutan, bot digerakkan untuk bawa anggota polis yang cedera ke Hospital Muar melalui sungai. Ayah menghembuskan nafas terakhir di dalam bot,” kongsinya sebak.

Pada 23 Februari 1950, seramai 25 orang maut termasuk ahli keluarga anggota polis dan mereka yang terselamat pertempuran maut itu adalah empat anggota polis dan sembilan ahli keluarga termasuk isteri dan anak mereka. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |