KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa supaya Bank Negara Malaysia (BNM) membantu mengesan dalang penipuan skim pelaburan Saham Boleh Tebus Syariah (i-RPS).
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya turut berharap supaya laporan berkenaan diteliti dan tidak ‘ditolak mentah-mentah’.
Aduan itu dibuat susulan tindakan sama yang dibuat kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 13 Mei lalu, melibatkan seramai 232 mangsa dengan jumlah kerugian kira-kira RM80 juta.
“Kita telah mendapat maklum balas bertulis daripada pihak polis supaya sebahagian kes ini dirujuk kepada BNM melibatkan asas siasatan di bawah Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan.
“Kita minta kes ini tidak ditolak mentah-mentah dan diteliti secara terperinci secara holistik. Kita juga harap agensi-agensi berkaitan tidak ‘taici’, tolak (aduan) kami ke kiri dan kanan.
“Selepas BNM, kami akan rujuk kes ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pula,” katanya.
Beliau berkata demikian sebelum menyerahkan 232 aduan mangsa terlibat kepada BNM, di sini hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, MHO mendesak SC membuka kertas siasatan terhadap i-RPS untuk diserahkan kepada Peguam Negara (AGC) bagi membawa dalang disyaki terlibat penipuan ke muka pengadilan.
Hishamuddin berkata, desakan tersebut memandangkan kes berkenaan bukan kepentingan peribadi, sebaliknya ia untuk kepentingan awam lebih-lebih lagi melibatkan mangsa yang ramai.
Pada 5 Mei lalu pula, ahli perniagaan dan juga suami kepada selebriti Heliza Hashim, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman menyangkal dakwaan bahawa beliau bukan pengendali skim penipuan pelaburan yang dikaitkan dengan sebuah syarikat.
Mahadi dipetik berkata, peranan beliau hanyalah sebagai wakil memperkenalkan peluang pelaburan berdasarkan maklumat serta jaminan yang diberikan oleh pihak syarikat terlibat dan turut mendedahkan beliau sendiri pernah melabur lebih RM20.7 juta dalam dua entiti berkenaan antara tahun 2021 hingga 2023. – KOSMO! ONLINE