Tiga bulan, tiga kejuaraan – Wooi Yik

2 days ago 9

KEKALAHAN pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka China di Changzhou kelmarin langsung tidak memberi kesan kepada semangat juang beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Sebaliknya, gandingan No. 2 dunia itu masih gembira dengan pencapaian yang dilakar biarpun mereka muncul naib juara pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000 berkenaan.

Wooi Yik menerusi hantaran di laman Instagram mengakui tetap gembira dengan keputusan itu, lebih-lebih lagi mereka sudah pun meraih tiga kejuaraan dalam tempoh tiga bulan terakhir di bawah kendalian Herry Iman Pierngadi.

Dia menjelaskan, mereka tidak akan mudah mengalah dan sedia untuk terus berjuang bagi mendapatkan gelaran pada kejohanan seterusnya terutamanya Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Perancis bulan depan.

“Kalau ngak bisa (tidak boleh), kita cuba lagi. Mungkin bukan sekarang tetapi kemudian hari dan kami perlu bersyukur. Tiga bulan dengan tiga kejuaraan dan dua gelaran naib juara, bukan sesuatu yang teruk.

“Belajar daripada kesilapan anda dan terima kasih atas semua sokongan yang diberikan,” tulis Wooi Yik menerusi hantaran yang dimuat naik.

Pada aksi final di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik kelmarin, bekas juara dunia itu terpaksa akur tewas straight set 15-21, 14-21 kepada beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri.

Kekalahan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik terus kempunan untuk menamatkan kemarau gelaran dalam saingan Super 1000 selepas lima percubaan sebelum ini turut berakhir dengan kekalahan di pentas final.

Sejak April lalu, pemenang dua pingat gangsa Sukan Olimpik itu sudah meraih gelaran Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand serta Terbuka Singapura selain menjadi naib juara pada Malaysia Masters serta Terbuka China.

Sementara itu, Aaron berikrar untuk memperbaiki segala kekurangan dan menggunakan masa yang ada dengan sebaiknya sebelum Kejohanan Dunia membuka tirainya pada 25 hingga 31 Ogos depan.

“Memang sedih tewas hari ini (kelmarin) tetapi tidak mahu terlalu memikirkannya kerana sasaran sebenar adalah Kejohanan Dunia. Kami akan gunakan minggu-minggu terakhir ini bagi melakukan persiapan terbaik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |