PETALING JAYA – Sebanyak 26 daripada 152 kes hiwalah (perintah pengkomitan) yang didaftarkan di Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sehingga September lalu telah berjaya diselesaikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, nilai keseluruhan simpanan yang dipindahkan kepada pemiutang penghakiman daripada akaun tersebut sebanyak RM79,820.
“Perintah hiwalah ini memberikan sinar baharu kepada isteri atau bekas isteri dan anak-anak yang teraniaya akibat kegagalan pemberian nafkah. “Tindakan tegas lain termasuk memenjarakan pihak yang cuai dalam melaksanakan tanggungjawab nafkah juga telah diambil oleh BSK JKSM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mohd. Na’im menegaskan, sebarang dakwaan bahawa kerajaan bersikap lepas tangan dalam isu pengabaian nafkah adalah tidak benar.
Menurut beliau, Kerajaan Madani amat komited untuk membantu rakyat khususnya para ibu tunggal dan anak-anak yang dinafikan hak nafkah mereka.
Kata beliau, usaha keras telah dilaksanakan bagi membolehkan tindakan sekatan akaun bank diambil terhadap bekas suami atau bapa yang culas memberi nafkah.
Jelas beliau, perkara itu satu cadangan yang dimulakan semasa beliau menjadi Ketua Pengarah JKSM.
Kata beliau, pindaan terhadap Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758), Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Akta 759), dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (Akta 618) telah pun diwartakan.
Ujar beliau, pindaan itu mengiktiraf dan membolehkan perintah hiwalah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dilaksanakan oleh institusi perbankan berlesen ke atas simpanan penghutang penghakiman.
”Promosi dan kempen kesedaran sentiasa dipergiatkan di seluruh negara agar masyarakat mengambil cakna terhadap perintah Mahkamah Syariah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1




































![[VIDEO] ‘Muka askar, suara pramugari’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/06/Tangkap-layar-menunjukkan-seorang-lelaki-yg-mengubah-suaranya-seperti-wanita-250x141.jpeg)












