Larang hidang arak di dewan sekolah Cina ibarat ‘jolok sarang tebuan’ – Guan Eng

3 hours ago 1

PETALING JAYA – Penasihat DAP, Lim Guan Eng mendakwa larangan minuman beralkohol dihidangkan di dewan sekolah Cina yang dibina sepenuhnya hasil sumbangan masyarakat Cina ibarat ‘menjolok sarang tebuan’.

Beliau mendakwa, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat berhubung larangan itu semalam telah menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan masyarakat Cina.

Kata beliau, hidangan minuman beralkohol merupakan amalan dan adat biasa dalam acara masyarakat Cina seperti majlis perkahwinan masyarakat dan jamuan di kuil. “Hidangan minuman beralkohol dalam acara hiburan di dewan sekolah Cina di luar aktiviti sekolah tanpa penglibatan pelajar malah telah berlangsung tanpa gangguan sejak negara mencapai kemerdekaaan pada tahun 1957.

“Walaupun Anwar menegaskan larangan arak ini bukan untuk mengenakan nilai dan pandangan Islam dengan menyekat hak bukan Islam, tetapi untuk memartabatkan sekolah sebagai tempat pendidikan kanak-kanak, masyarakat Cina tidak bersetuju,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, sekolah rendah Cina terkenal secara meluas sebagai institusi pendidikan yang cemerlang dan pelajarnya tidak terdedah kepada alkohol dan memiliki akhlak serta nilai etika yang baik.

Kata beliau, bilangan kes rogol, liwat atau penderaan seksual kanak-kanak di sekolah Cina sekiranya ada malah adalah rendah berbanding semua jenis sekolah.

Justeru, katanya, masyarakat Cina mempersoalkan larangan itu yang dilihat mengikut rentak golongan ekstremis dan perkauman.

Beliau mendakwa, sekatan itu telah mencampuri, mengganggu serta menjejaskan kebiasaan yang selama ini tidak menimbulkan sebarang kontroversi atau memberi kesan negatif terhadap masyarakat Islam.

Dakwa beliau, ketika Pas mentadbir kerajaan, parti itu tidak pernah mencampuri urusan di sekolah rendah Cina dan aktiviti sedemikian terus berjalan tanpa gangguan di dewan sekolah Cina.

“Selain itu, di manakah had kepada sekatan-sekatan seperti ini akan berakhir? Adakah sasaran seterusnya selepas alkohol adalah daging babi?

“Memandangkan daging babi diharamkan di institusi kerajaan, adakah sekolah rendah Cina juga akan berdepan larangan untuk menghidangkan daging babi dalam majlis-majlis kebiasaan?,” katanya.

Guan Eng berkata, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook telah mengambil inisiatif untuk berbincang dengan Perdana Menteri bagi mencari jalan penyelesaian yang dapat mengekalkan tradisi serta amalan budaya masyarakat Cina di dewan sekolah mereka. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |