Tidak perlu pensijilan halal untuk aspek pentadbiran negara – Jakim

3 hours ago 3

PETALING JAYA – Pensijilan halal untuk aspek pentadbiran negara tidak berbangkit kerana bidang tersebut telah ditangani melalui mekanisme berautoriti sedia ada.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, adalah penting untuk membezakan antara konsep halal yang bersifat menyeluruh serta meliputi keadilan sosial, integriti dan tadbir urus yang baik dengan proses pensijilan halal.

“Dalam konteks tadbir urus negara, tanggungjawab membanteras rasuah, memperkukuh integriti dan memastikan keadilan terlaksana merupakan mandat semua jabatan dan kementerian.

“Komitmen ini sejajar dengan arahan Perdana Menteri kepada semua jabatan untuk menangani rasuah, memperkukuh integriti nasional serta meningkatkan tatakelola negara yang telus dan beramanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sirajuddin berkata, Jakim malah secara berterusan menyampaikan mesej moral dan syariah berhubung rasuah, salah guna kuasa dan pengkhianatan amanah melalui khutbah Jumaat, program pembangunan ummah, kempen kesedaran dan pelbagai saluran medium dakwah.

Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Madani melalui Jakim akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan semua pihak untuk mengekalkan pensijilan halal Malaysia sebagai penanda aras antarabangsa, tetapi juga dalam memperkasa pendidikan Islam, pembangunan ummah, dakwah serta institusi keluarga.

“Segala usaha ini menzahirkan komitmen berterusan terhadap kesucian, kebersihan, keadilan dan integriti, selaras dengan tuntutan syariah dan aspirasi negara,” katanya.

Terdahulu, beliau menerangkan, proses pensijilan halal merupakan mekanisme rasmi negara bagi menjamin keyakinan pengguna Islam serta mengawal selia industri halal supaya sentiasa mematuhi standard, piawaian dan tuntutan syariah yang merentasi sektor makanan, farmaseutikal, kosmetik, logistik dan sembelihan halal.

Katanya, tanpa pensijilan halal yang sah, masyarakat Islam berisiko berhadapan kekeliruan, manipulasi pasaran dan eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.

“Jakim akan terus fokus memastikan pensijilan halal kekal unggul di samping memperkukuh peranan dakwah dan pendidikan dalam menegaskan larangan syariah terhadap rasuah, salah guna kuasa dan pengkhianatan amanah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |