‘Ternyata putus cinta lebih sedih daripada insiden konsert batal’

4 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Sering nampak ceria, siapa sangka penyanyi Aisha Retno baharu sahaja melalui episod duka apabila hubungan percintaannya putus di tengah jalan.

Enggan terus larut dalam emosi, Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 25, kini mahu lebih fokus mengembangkan karier seni.

“Biasalah apabila seseorang memilih untuk berlalu pergi. Saya pun sudah dewasa dan kita tak boleh nak tahan orang lain untuk terus bersama kita.

“Kami berkenalan dalam beberapa bulan. Mungkin kini saya akan lebih fokus terhadap kerjaya. Pada saya, putus cinta merupakan perkara biasa.

“Lagipun, buat masa ini, agak sukar mencari seseorang yang faham cara kerja kita sebagai anak seni, namun saya tidak pernah salahkan pihak di sana,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di acara Sepetang Iftar bersama Aisha Retno di Taema Bnglw, baru-baru ini.

Penyanyi yang popular dengan lagu Sutera itu turut berkongsi akan meluahkan segala emosi yang terbuku di hati dalam lagi seperti mana dilakukan penyanyi antarabangsa Taylor Swift.

Dia turut membulatkan tekad untuk mengetepikan soal cinta memandangkan hubungan sebelum ini masih bersisa di hati.

“Saya sudah ada inspirasi untuk menulis lagu album baharu saya nanti. Saya akan tumpahkan segala emosi di situ. Mungkin orang anggap hal ini sebagai lucu tapi ketika menulis lagu, air mata saya menitis.

“Apabila menulis lagu buat seseorang, sudah tentu saya terkesan. Ingatkan insiden konsert batal sudah cukup sedih, ternyata ada lagi yang lebih menyedihkan.

“Buat masa sekarang, saya memang serik bercinta. Biarlah saya fokus dengan kerjaya. Siapa yang nak datang, saya terima sahaja,” tuturnya.

Berkongsi lanjut, Aisha mengakui meski sudah berpisah dia masih mengekalkan hubungan baik dengan jejaka yang dirahsiakan identiti itu.

“Kami masih berkawan baik. Saya lebih suka mengekalkan hubungan baik ini.

“Dalam dunia ini, pusing-pusing ke mana pun kita akan berjumpa juga. Malaysia ini bukanlah besar sangat

“Kami mengakhiri hubungan ini secara baik,” ujarnya.

Sebelum ini, Aisha dan penyanyi Aziz Harun pernah akrab kerana sering memaparkan aksi mesra dalam TikTok seperti sedang dilamun cinta.

Bagaimanapun, Aisha menafikan spekulasi itu dengan menegaskan mereka hanya berkawan baik. –  KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |