Ternak babi: Operasi pindah 100,000 babi ke Bukit Tagar dipercepat

5 days ago 14

SHAH ALAM – Operasi pemindahan 100,000 ekor babi dari Kuala Langat dan Sepang ke Bukit Tagar, Hulu Selangor akan dipercepatkan bagi dilaksanakan sepenuhnya pada tahun ini.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim berkata, proses pemindahan ke kawasan ladang sawit seluas 202 hektar itu akan dibuat secara berperingkat melibatkan 115 ladang.

Menurutnya, perkara itu akan diperincikan dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Rabu ini.

“Kerajaan negeri kini dalam proses menyelesaikan isu tanah di lokasi baharu termasuk mendapatkan kelulusan kebenaran merancang (KM) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selepas itu, semua penternak akan dipanggil bagi memperincikan syarat ketat operasi serta menentukan jumlah sebenar ternakan yang terlibat.

“Berdasarkan statistik, terdapat 115 ladang dikenal pasti di Kuala Langat dan Sepang dengan melibatkan 100,000 ternakan babi. Pemindahan itu akan dilakukan secepat mungkin pada tahun ini,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, di sini hari ini.

Jelas Izham, langkah itu dibuat selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selain menangani isu pencemaran bau dan air selain wabak demam babi Afrika (ASF).

Justeru, kerajaan negeri kelak tidak lagi membenarkan operasi ladang babi diteruskan walaupun secara sementara di Kuala Langat dan Sepang selain tiada
pembaharuan lesen.

“Bukit Tagar dikenal pasti satu-satunya lokasi baharu bagi ternakan itu di Selangor dengan syarat ketat termasuk zon penampan luas, sistem tertutup dan kaedah pelepasan sifar.

“Lokasi di tanah milik persendirian itu terletak di kawasan jauh daripada lokaliti penduduk dan sungai. Semua kos akan dibiayai oleh pihak swasta dan bukannya kerajaan negeri,” tegasnya.

Tambah beliau, Selangor tidak pernah menjadi pengeksport babi dan pengeluaran sedia ada hanya bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam di negeri ini.

“Sebelum wabak ASF, pengeluaran babi di hanya memenuhi kira-kira 60 peratus keperluan negeri dan kini pengeluarannya berada sekitar 30 peratus.

“Kerajaan negeri akan meneliti semula angka populasi maksimum ternakan (SPP) bagi memastikan jumlahnya tidak melebihi keperluan sehingga membawa kepada eksport,” katanya.

Dalam pada itu, Izham berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih titah Sultan Selangor yang tidak berkenan operasi sementara ternakan di Kuala Langat diteruskan.

Terdahulu, Izham menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini, bagi menyembah maklum berkaitan isu ternakan babi tersebut selama 45 minit.

Muka depan Kosmo! melaporkan isu ternakan babi yang menghantui penduduk Tanjung Sepat berlarutan sejak sekian lama, namun didakwa kembali aktif dua bulan lalu selepas berakhirnya jangkitan demam babi Afrika (ASF). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |