GENEVA – Haba panas yang terperangkap di Bumi mencapai paras tertinggi tahun lalu, dengan kesan pemanasan sedemikian dijangka berterusan untuk ribuan tahun, demikian menurut amaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) hari ini.
Sebanyak 11 tahun paling panas direkodkan dan semuanya berlaku antara 2015 hingga 2025, kata Agensi Cuaca dan Iklim(WMO) yang bernaung di bawah PBB dalam laporan tahunan utama bertajuk State of the Global Climate.
2025 adalah tahun kedua atau ketiga paling panas dalam rekod, iaitu kira-kira 1.43 Celsius melebihi suhu purata antara 1850 hingga 1900, kata Pertubuhan Meteorologi Sedunia pula.
“Iklim global kini dalam keadaan darurat. Planet Bumi berdepan tekanan melebihi hadnya. Semua penunjuk iklim utama memberikan amaran merah.
“Umat manusia baru saja mengharungi 11 tahun paling panas. Apabila sejarah berulang sebanyak 11 kali, ini bukan lagi kebetulan. Ia amaran supaya umat manusia bertindak,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
Buat pertama kalinya, laporan iklim WMO kali ini turut mengambil kira ketidakseimbangan tenaga iaitu kadar tenaga yang masuk dan keluar dari sistem Bumi.
Di bawah iklim yang stabil, tenaga masuk dari Matahari adalah kira-kira sama dengan jumlah tenaga keluar, kata agensi berpangkalan di Geneva itu.
Bagaimanapun, peningkatan kepekatan gas rumah hijau(karbon dioksida, metana dan nitrus oksida) memerangkap haba ke tahap tertinggi dalam sekurang-kurangnya 800,000 tahun, telah ‘menggugat keseimbangan itu.’
“Ketidakseimbangan tenaga Bumi meningkat sejak data direkodkan bermula pada 1960, terutamanya dalam tempoh 20 tahun yang lalu. Ia mencapai paras tertinggi baharu pada 2025,” kata WMO.
Lebih daripada 91 peratus haba di Bumi diserap oleh lautan.
“Kandungan haba lautan pula mencapai rekod baharu pada 2025,” kata WMO.
Pemanasan lautan dan kenaikan paras laut dijangka berterusan selama berabad-abad.
Pemanasan lautan mempunyai kesan meluas seperti kemerosotan ekosistem marin, kehilangan biodiversiti, dan pengurangan sinki karbon lautan.
“Ia menyemarakkan ribut tropika dan subtropika serta menyebabkan kemusnahan ais laut yang berterusan di kawasan kutub,” tambah agensi sama. – AFP

7 hours ago
4

















































