SEBERANG PERAI – Polis menahan reman tiga individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kebakaran sehingga berlaku letupan di sebuah gerai menjual mercun di Taman Pekaka, Nibong Tebal di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, ketiga-tiga suspek tempatan itu direman selama tiga hari bermula hari sehingga 25 Mac ini.
Menurutnya, siasatan ke atas mereka dilakukan mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai berkenaan apa-apa benda letupan.
“Siasatan awal mendapati gerai berkenaan mempunyai permit yang sah. Kejadian berlaku telah mengakibatkan kerosakan kepada beberapa harta benda termasuk sebuah motosikal, dua buah kereta serta premis berhampiran melibatkan sebuah restoran dan sebuah kediaman,” katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu lagi, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak polis.
“Polis Pulau Pinang ingin menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada seta mematuhi peraturan keselamatan dan pengendalian bahan mudah terbakar khususnya ketika di musim perayaan, bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” ujarnya.
Semalam, tular beberapa video menunjukkan letupan berlaku di sebuah gerai menjual mercun sebelum musnah terbakar Nibong Tebal di sini.
Salah satu video berdurasi 53 saat telah memaparkan situasi cemas apabila gerai jualan mercun yang beroperasi di tepi jalan itu tiba-tiba meletup lalu mengeluarkan percikan api besar.
Kelihatan orang ramai termasuk pekerja dan pelanggan di sebuah restoran berhampiran lokasi kejadian bertempiaran lari menyelamat diri selain premis berkenaan terpaksa ditutup.
Video tersebut mendapat kecaman pengguna media sosial selain rata-ratanya meminta pihak berkuasa mengetatkan lagi penguatkuasaan pengeluaran lesen. -KOSMO! ONLINE

7 hours ago
5

















































