Seorang maut, lima cedera kemalangan dekat Puncak Titiwangsa

8 hours ago 4

GERIK – Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera setelah terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran hentian rehat dan rawat (R&R) Puncak Titiwangsa menghala ke Jeli di sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.24 pagi tadi.

“Berlaku kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan, sebuah kereta jenis Perodua Ativa dan sebuah kereta jenis Kia Forte.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati kereta Perodua Ativa tersebut telah terbabas lalu terbalik ke dalam longkang manakala kereta Kia Forte terbabas ke bahu jalan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat empat orang mangsa yang menaiki kereta Perodua Ativa terdiri daripada seorang lelaki dewasa dan dua perempuan yang mengalami kecederaan serta seorang lelaki dewasa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sabarodzi berkata, dua orang mangsa lagi yang menaiki kereta Kia Forte terdiri daripada seorang lelaki dewasa dan wanita yang mengalami kecederaan.

Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja penyelamatan dengan menggunakan peralatan khas ‘rescue cutter’ bagi mengeluarkan mangsa tersepit dalam kereta Perodua Ativa yang terbalik.

“Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dari Hospital Gerik dan Jeli turut hadir ke lokasi kejadian dan mengesahkan seorang lelaki dewasa yang menaiki kereta Perodua Ativa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kesemua lima orang mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Jeli dengan menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans KKM bagi menerima rawatan lanjut.

“Manakala mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |