Prabudass, Haziq cemerlang di SCORE Marathon

23 hours ago 6

PUTRAJAYA – Dua pelari jarak jauh negara, K. Prabudass dan Muhammad Haziq Hamzah membuktikan kehebatan apabila masing-masing memenangi kategori Terbuka Lelaki Malaysia bagi acara 21 kilometer (km) dan 42km pada SCORE Marathon 2026.

Pada acara yang berlangsung di sekitar Putrajaya, hari ini, Prabudass berjaya menamatkan acara 21km menerusi catatan masa 1 jam 13 minit 4 saat (s), mengatasi G. Vimal (1’13:04s) dan Lai Yi Hng (1’14:57s).

Pelari berusia 36 tahun itu menampilkan larian cukup konsisten sepanjang perlumbaan hari ini meskipun baru sahaja menyertai kejohanan lain dua minggu lalu selain mengakui faktor usia sudah mula memberi kesan kepadanya.

“Saya datang ke sini untuk menjadi sebahagian daripada sejarah rekod 50,000 peserta dan memang gembira kerana dapat melakukan larian bersama rakan-rakan lama.

“Berhubung rekod kebangsaan, saya perlu melihat tahap latihan terlebih dahulu. Sekiranya prestasi baik, tidak mustahil untuk saya memecahkannya lagi di luar negara,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlumbaan.

Dia yang merupakan pemegang rekod kebangsaan bagi acara separuh maraton dengan catatan 1’06:53s itu menjelaskan, kejayaan yang diraih sebelum ini dibuat tanpa ada latihan khusus kerana dia hanya menyesuaikan diri dengan keadaan perlumbaan.

HAZIQ

Pada masa sama, Haziq yang baru pulang daripada saingan di Gold Coast, Australia mengakui laluan berbukit selain cuaca panas menjadi cabaran paling sukar, namun dia mampu menguruskannya dengan baik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports, Patricia Tan meluahkan rasa gembira apabila SCORE Marathon diiktiraf dalam Malaysia Book of Record (MBOR) sebagai Acara Larian Terbesar di Malaysia sejak ia mula dianjurkan pada 2014.

Kejohanan larian itu mendapat pengiktirafan tersebut selepas edisi kali ini berjaya menarik penyertaan 51,077 peserta sepanjang dua hari saingan melibatkan acara 5km, 10km, 21km dan 42km.

“Sejak 2014, kami sentiasa berusaha untuk menaikkan standard penganjuran. Bajet tahun ini digunakan untuk memberikan nilai tambah kepada peserta dan kami juga mahu menarik lebih ramai peserta dari luar negara pada masa hadapan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |