PETALING JAYA – Kerajaan mengambil langkah proaktif dengan mengintegrasikan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan analitik data raya ke dalam Sistem Amaran Awal Multi-Bahaya (MHEWS), sejajar dengan cabaran iklim tahun ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, inisiatif itu membolehkan penyampaian maklumat amaran awal seperti banjir kilat, ribut tropika dan fenomena cuaca ekstrem dilakukan dengan lebih pantas kepada agensi pengurusan bencana serta masyarakat.
“Perubahan iklim adalah cabaran yang menuntut tindakan kolektif dan berterusan daripada semua pihak. Data kita hasilkan bukan sekadar angka, tetapi panduan keselamatan yang menentukan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam masa sama, pemerkasaan Pusat Kecemerlangan Iklim Negara menjadi teras kepada penyelidikan impak perubahan iklim bagi menyokong penggubalan dasar adaptasi nasional yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Katanya, pihak kementerian juga memberikan penekanan serius terhadap aspek literasi cuaca di peringkat akar umbi melalui program ‘Meteorologi Untuk Rakyat’.
“Usaha ini bertujuan membudayakan sikap kesiapsiagaan dalam kalangan komuniti agar setiap amaran yang dikeluarkan dapat diterjemahkan kepada tindakan pencegahan yang efektif.
“Kerajaan percaya bahawa pemerkasaan aset teknikal dan pembangunan kepakaran modal insan dalam bidang meteorologi adalah pelaburan keselamatan yang paling kritikal demi menjamin kelangsungan sosioekonomi negara dalam jangka masa panjang,” katanya.
Arthur berkata, di peringkat antarabangsa, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) khususnya bagi menyokong inisiatif Early Warnings for All.
“Komitmen ini membuktikan dedikasi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam memastikan tiada rakyat yang terpinggir daripada menerima perlindungan keselamatan iklim yang sewajarnya, selaras dengan matlamat pembangunan lestari negara,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sempena Hari Meteorologi Sedunia 2026, seluruh warga Malaysia diseru untuk bersama-sama memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam dan sentiasa peka terhadap maklumat cuaca rasmi.
Katanya, ini kerana setiap langkah persediaan yang diambil hari ini adalah pelindung bagi masa depan generasi akan datang.
“Malaysia hari ini menyertai komuniti global bagi menyambut Hari Meteorologi Sedunia 2026 yang mengangkat tema ‘Pemantauan Hari Ini Perlindungan Hari Esok’.
“Sambutan tahun ini merupakan satu peringatan penting mengenai peranan strategik sains meteorologi dalam melindungi nyawa serta harta benda rakyat daripada ancaman cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim global.
“NRES melalui Jabatan Meteorologi Malaysia terus komited untuk memastikan negara sentiasa bersiaga dengan memperkukuh keupayaan pemantauan dan ramalan cuaca yang lebih jitu,” katanya.

5 hours ago
6


















![[VIDEO] ‘Silakan berlumba, aku dah standby van jenazah’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-22-at-9.18.12-AM.jpeg)






























