SEBERANG PERAI – Polis mengesahkan tayar motosikal yang dibonceng seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pecah lalu hilang kawalan dan terbabas sehingga menyebabkan mangsa maut di Kilometer 136.8 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah Utara di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 23 tahun manakala pemboncengnya merupakan remaja perempuan berusia 17 tahun, dalam kejadian kira-kira pukul 9.47 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal terbabit dalam perjalanan dari arah Juru menuju ke Sungai Dua.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, tayar belakang motosikal tersebut tiba-tiba pecah, menyebabkan penunggang hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kiri bahu jalan.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal seorang lelaki Melayu mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ).
“Pembonceng motosikal seorang perempuan Melayu berusia 17 tahun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini, sebentar tadi.
Beliau memberitahu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor K. Vignesh ditalian: 011-14572390 bagi membantu siasatan.
“Pihak polis menasihatkan para pengguna jalan raya agar sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan serta mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan semua pihak,” tambahnya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang calon SPM 2025 maut dipercayai selepas motosikal yang dia bonceng bersama rakannya terlibat kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan, berhadapan Masjid Jamek Seberang Jaya di sini, malam tadi.
Mangsa, Nurul Ain Nadhirah Zulkhairi, 17, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala rakan lelakinya berusia 23 tahun dilaporkan berada di Zon Merah Hospital Seberang Jaya. – KOSMO! ONLINE