Laporan PNBRI bakal tingkatkan produktiviti lebih 210,000 pekebun kecil sawit

3 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Laporan oleh PNB Research Institute Sdn. Berhad (PNBRI), cabang penyelidikan dan anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) bakal meningkatkan taraf hidup lebih 210,000 pekebun kecil persendirian.

Bertajuk ‘Realiti dan Prospek Kelestarian dalam Kalangan Pekebun Kecil Sawit di Malaysia’, laporan berkenaan menggariskan 15 cadangan bagi memperkukuh kuasa tawar-menawar, akses pasaran ke arah daya saing global.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, berkata, kajian tersebut mencerminkan pengiktirafan PNB terhadap kepentingan ilmu dan penyelidikan dalam memperkasa industri dan rakyat Malaysia.

“Laporan ini merupakan hasil daripada penyelidikan intensif, libat urus pelbagai pihak berkepentingan, dan kerja lapangan di seluruh negara selama hampir dua tahun.

“Dapatan kajian menyokong usaha Kumpulan PNB memacu automasi dan pertanian pintar minyak sawit di bawah inisiatif ‘Gear Up’ kerajaan, serta penekanan Rancangan Malaysia Ke-13 terhadap peningkatan standard pensijilan kelestarian tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Laporan Utama PNBRI di ibu negara, hari ini.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Kajian, Farhana Roslan, berkata, laporan itu memperkenalkan cadangan skim latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional ‘Agropreneur Sawit Muda’ bagi melatih generasi baharu pekebun kecil yang mewarisi tanah daripada ibu bapa mereka.

“Antara cadangan utama lain laporan berkenaan adalah mempercepatkan usaha pengesanan dan pematuhan di seluruh rantaian nilai sawit dan memperkasakan Koperasi Penanam Sawit Mampan serta koperasi pekebun kecil dengan pembiayaan modal kerja yang lebih besar.

“Turut dicadangkan, memperbaharui strategi komunikasi berkenaan manfaat pensijilan kelestarian kepada pekebun kecil, khususnya keperluan nasional untuk mencapai pensijilan kelestarian penuh,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |