PETALING JAYA – Statistik menunjukkan kes bunuh diri di negara ini terus meningkat daripada 981 kes pada tahun 2022 dan 1,087 kes pada tahun 2023 kepada 1,114 kes tahun lalu.
Menteri Kesihatan (KKM), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, setiap nyawa yang terkorban meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mereka.
“Marilah kita bersama menghapuskan stigma, menanamkan empati dan membina harapan. Ingatlah bahawa bantuan sentiasa ada.
“Hubungi Talian HEAL 15555 untuk sokongan segera. Kerajaan akan terus komited memperkukuh kesejahteraan mental rakyat kerana setiap nyawa amat berharga,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Dzulkefly berkata, sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2025, kerajaan mengambil langkah bersejarah dengan menyahjenayah cubaan bunuh diri di Malaysia.
Menurut beliau, pemansuhan Seksyen 309 Kanun Keseksaan bermakna individu yang cuba membunuh diri tidak lagi dihukum penjara atau denda.
Jelas beliau, individu terlibat sebaliknya dirujuk untuk rawatan dan sokongan kesihatan mental yang merupakan pendekatan kesihatan awam lebih berperikemanusiaan seiring aspirasi Malaysia Madani.
Tambah beliau, sebagai sebahagian pelaksanaannya, kerajaan memperkenalkan Pegawai Intervensi Krisis (PIK) yang terdiri daripada pihak polisz
Kata beliau, PIK terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Beliau berkata, PIK berkuasa membawa individu yang cuba membunuh diri ke hospital psikiatri untuk penilaian serta rawatan awal.
“KKM kini di peringkat akhir mewartakan hampir semua hospital KKM serta dua hospital universiti (sejumlah 145 hospital) bagi menerima rujukan PIK termasuk di kawasan pedalaman.
“Pada masa sama, KKM sedang membangunkan Garis Panduan Sokongan Pasca Kematian Akibat Bunuh Diri (Postvention) untuk memberi kaunseling, psikoedukasi dan sokongan krisis kepada keluarga serta komuniti terkesan.
“Usaha ini diperkukuh melalui kerjasama rentas kementerian dan agensi bagi memastikan pencegahan dan intervensi yang lebih menyeluruh,” katanya. – KOSMO! ONLINE