BINTANG olahraga negara, Umar Osman meletakkan sasaran tinggi menjelang Kejohanan Dunia 2025 di Tokyo, Jepun bermula esok apabila bertekad memadam rekod 400 meter (m) kebangsaan dengan catatan masa bawah 46 saat (s).
Atlet berusia 22 tahun itu berkata, segala persiapan berjalan lancar termasuk aspek fizikal, teknikal dan mental yang kini semakin mantap di bawah kendalian jurulatihnya, Simon Lau.
“Persediaan saya berjalan lancar setakat ini. Dari segi latihan fizikal dan teknikal, kami fokus memperbaiki aspek perlu ditingkatkan. Saya juga beri perhatian kepada persediaan mental supaya lebih tenang dan yakin di pentas besar nanti,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Umar memegang rekod kebangsaan 46.09s dilakar tahun lalu dan percaya catatan itu mampu diperbaiki sekiranya dapat mengekalkan rentak konsisten seperti dipamerkan musim ini.
“Berlari di bawah 46s, itu sasaran utama yang saya letakkan dan mahu buktikan di Kejohanan Dunia ini,” ujarnya.
Pelari kelahiran Johor itu yang diberikan tiket wildcard turut menegaskan, pencapaiannya di Tokyo bukan sekadar memburu masa peribadi terbaik, tetapi juga mahu memberi persembahan membanggakan buat negara.
Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas dunia adalah menerusi Muhammad Azeem Fahmi di Budapest 2023, namun gagal ke separuh akhir dan kini tumpuan terarah kepada Umar yang bakal mengibarkan Jalur Gemilang di Tokyo.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin berkata, peluang beraksi di Kejohanan Dunia adalah ruang terbaik untuk Umar membuktikan kemampuan sebenar.
“Kita harap Umar menggunakan kesempatan ini untuk mencatat pencapaian terbaik. Sasaran mahu lihat dia berlari bawah 46s kerana penting untuk memastikan kedudukan di Sukan SEA nanti, khususnya pingat emas.
“Ada beberapa pelari Thailand mempunyai masa agak baik berbanding Umar, jadi kejohanan ini menjadi platform terbaik untuk dia bersedia ke Sukan SEA,” katanya. – KOSMO! ONLINE