Suspek tembakan di Kashmir bawa AK-47

3 days ago 14

NEW DELHI – Salah seorang penyerang yang melepaskan tembakan ke arah pelancong di wilayah Jammu dan Kashmir, India, dikesan membawa senapang, demikian menurut pemerhatian portal berita India Today. 

Imej yang disiarkan di media sosial menunjukkan penyerang itu mengenakan kurta sambil memegang raifal AK-47. 

Serangan dahsyat itu berlaku sekitar pukul 2.30 petang (waktu tempatan) kelmarin di padang rumput Baisaran yang digelar ‘Switzerland mini’. 

Seorang pemandu pelancong di bandar Pahalgam memberitahu agensi berita AFP bahawa dia tiba di tempat kejadian selepas mendengar tembakan dan membawa beberapa mangsa cedera menaiki kuda.

Katanya, dia melihat sejumlah lelaki terbaring mati di atas tanah, manakala seorang saksi yang enggan namanya disiarkan berkata, penyerang tidak menembak wanita.

Beberapa saksi memberitahu bahawa orang ramai berlari dalam keadaan panik untuk mencari tempat perlindungan di padang rumput terbuka. 

“Orang ramai tiada tempat untuk bersembunyi,” kata seorang saksi yang enggan mendedahkan namanya. 

Beberapa gambar dari lokasi kejadian menunjukkan mayat bergelimpangan di kawasan padang rumput, manakala sebilangan wanita menangis d ketika penduduk tempatan bergegas memberikan bantuan.

Sementara itu, pasukan keselamatan India melancarkan operasi memburu suspek secara besar-besaran bermula hari ini, sehari selepas serangan di wilayah yang dilanda pemberontakan terhadap orang awam sejak 2000 itu.

Senarai mangsa maut yang dikeluarkan oleh hospital mengesahkan 26 orang terbunuh dalam serangan itu, dengan kesemuanya warganegara India, kecuali seorang dari Nepal. – AFP/AGENSI 

Read Entire Article
Pertanian | | | |