Sumud Flotilla: Nasi lemak untuk Muntasir di Gaza

5 hours ago 4

PETALING JAYA – Pengasas Cinta Salam Malaysia, Musa Nuwayri sanggup menyimpan satu peket nasi lemak rendang ayam bekalannya di dalam kapal untuk diberikan kepada seorang lelaki di Gaza.

Menerusi hantaran pada Instagram, Musa memaklumkan beliau membawa nasi lemak rendang ayam sedia dimakan itu sebagai bekalan dalam perjalanan misi Global Sumud Flotilla (GSF).

Bagaimanapun, beliau kemudian terlihat satu video memaparkan seorang lelaki Gaza dikenali sebagai Muntasir dan fasih berbahasa Melayu mengalu-alukan kehadiran sukarelawan Sumud Nusantara khususnya dari Malaysia yang menyertai misi GSF.

“Asalnya bawa untuk makan sendiri. Tiba-tiba ternampak video lelaki dari Gaza kata teringin nak makan nasi lemak. Dia siap spesifik kan nasi lemak rendang ya. Macam tahu-tahu saya ada bawa satu.

“Jadi saya simpankan untuk beliau kalau ada rezeki jumpa nanti. Doakan,” katanya pada hantaran berkenaan.

Pada video berkenaan, Muntasir memberitahu sukarelawan Sumud Nusantara untuk membawa nasi lemak dan rendang kepadanya.

“Salam dari Gaza. Sumud Nusantara, kita tunggu you di Gaza. Jangan lupa bawa nasi lemak dan rendang untuk saya okay,” katanya.

Menerusi ruangan komen, orang ramai memaklumkan mereka mengenali Muntasir dan difahamkan lelaki tersebut pernah tinggal di Malaysia.

“Ini Muntasir. Dia sangat fasih bahasa Melayu. Korang kalau ada rezeki lebih, pergi lah jenguk Tiktok Muntasir dan boleh sampaikan TikTok gift kat dia. Muntasir selalu masak makanan panas untuk kejiranan terdekat dia di Gaza berbekalkan duit gift daripada Tiktok dan juga sumbangan terus ke bank dia,” komen pengguna Instagram Fiefaamustapha.

“Dia lama duduk Malaysia. Masa Rafah dibuka, dia balik untuk berbakti semula kepada Gaza,” kata Alinnnnnjer.

“Semoga ada rezeki dia nak rasa nasi lemak rendang ya Allah,” kata Atikahrostam.

Misi kemanusian GSF memulakan pelayaran dari pelabuhan Barcelona, pada 31 Ogos dengan usaha untuk memecahkan kepungan haram di Gaza.

Sukarelawan dari 44 negara menyertai misi GSF dengan penyertaan dari Asia digabungkan di bawah inisiatif Sumud Nusantara.

Aktivis Sumud Nusantara terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Filipina, Maldives, Bangladesh, Bhutan, Thailand, Sri Lanka, Nepal dan Pakistan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |