SPM 2024: Muhammad Fais hadiahkan 9A hargai pengorbanan ibu bapa

2 days ago 12

PONTIAN – Melihat perit jerih orang tua membanting tulang mencari rezeki mendorong seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Baloi berusaha mencapai kejayaan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Muhammad Fais, 18, berkata, hatinya tersentuh tatkala melihat raut wajah ibu, Suheni Suyono, 49, yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan di Parit Jawa di sini dengan pendapatan RM90 sehari.

Manakala, bapanya, Mohd Jumaat Kurdi, 53, bekerja sendiri di Kampung Parit Limin, Ayer Baloi di sini dengan pendapatan tidak menentu.

“Ibu kerja sebagai tukang masak, ayah pula kerja sendiri selepas berhenti kerja sebagai jurukimpal di Kempas, Johor Bahru sejak empat tahun lalu.

“Saya anak sulung dua beradik, jadi besar harapan mereka mahu saya berjaya dalam SPM dan hari ini alhamdulillah saya dapat buktikan dan hadiahkan kejayaan ini untuk semua jasa pengorbanan mereka,”katanya ketika ditemui di Kampung Parit Limin, Ayer Baloi, di sini, hari ini.

Muhammad Fais merupakan antara dua calon SPM SMK Ayer Baloi yang menepati ramalan memperoleh keputusan penuh 9A dalam mata pelajaran yang diambil.

Selain Muhammad Fais, seorang lagi pelajar cemerlang ialah Siti Nazirah Zulkifli.

Tambah Muhammad Fais, tiada sebarang rahsia atau ramuan bagi kejayaan ini hanya memberikan tumpuan ketika di dalam kelas dan mengulang kaji setiap hari ketika berada dirumah.

“Kalau saya tidak faham , saya terus bertanya kepada guru yang mengajar dan bagi mata pelajaran yang susah seperti matematik tambahan saya cuba bagi mendapatkan jalan penyelesaian dengan kadar segera.

“Bagi mata pelajaran yang mengandungi banyak fakta, seperti pendidikan Islam dan Sejarah, selain membaca, saya juga menulisnya bagi meningkatkan lagi kefahaman,” ujarnya yang merupakan anak kedua daripada dua beradik. -KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |