BESUT – Suasana pilu dan hiba menyelubungi pekarangan Masjid Hadhari, Jerteh di sini semalam saat orang ramai menyambut kepulangan 15 jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas bas persiaran di Gerik, Perak.
Apa yang membuatkan penduduk sedih apabila lokasi masjid tersebut merupakan tempat kesemua arwah terdiri daripada sembilan pelajar perempuan dan empat lelaki terbabit berkumpul sebelum mereka memulakan perjalanan ke Tanjung Malim kelmarin.
Lebih 3,000 penduduk terdiri daripada sanak-saudara, masyarakat setempat dan rakan sekampus hadir menyambut ketibaan van-van yang membawa jenazah.
Van membawa jenazah Muhammad Adib Hazim Halim, 21, pertama tiba pada pukul 10.45 malam bagi solat jenazah sebelum dibawa ke kampung halamannya di Kampung Pasir Gajah, Hulu Besut untuk disemadikan.
Kenderaan membawa jenazah Wan Nur Suhaila Wan Mohammad, 22, pula sekadar melintasi masjid tersebut pada waktu hampir sama sebelum dibawa ke Masjid al-Mukhlisin, Kampung Amer di sini bagi majlis pengebumian.
Baki van membawa 13 jenazah pelajar UPSI yang terkorban pula hanya tiba di pekarangan Masjid Hadhari pada pukul 3 pagi.
Ia melibatkan jenazah Fakrul Arif Rosdi, 20, Mohammad Aqil Taqiuddin Mohd. Sofian, 23, dan Muhammad Mustaqim Rosde, 21.
Selain itu, van-van terbabit turut membawa jenazah Nik Amni Nadiah Nik Nor Zubir, 21, Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21, Nur Dalila Farhana Mohamed Isma, 21, Nurly Sahirah Azman, 23, Nurul Fatihah Abu Setaman, 22, Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21, Sufea Adela Maslihaizan, 21, dan Fatin Nasrien Fadli, 22, Anis Soffiyyah Md. Zaidi, 20, dan Nor Ayuni Maslan, 21.
Solat jenazah semua jenazah yang dilaksanakan serentak dipimpin Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Sejurus solat jenazah selesai pada pukul 3.20 pagi, kesemua jenazah dibawa ke kampung halaman masing-masing di sekitar daerah ini dan Setiu untuk dikebumikan.
Izwan Iskandar Che Sopian, 27, yang merupakan sepupu Fakhrul Arif bagaikan tidak percaya kenyataan yang sedang dihadapi mereka.
“Kami yang menghantar Fakhrul menaik bas untuk pulang ke kampus UPSI di pekarangan Masjid Hadhari ini pada 9 malam, Ahad lalu.
“Sehari kemudiannya kami kembali di lokasi sama tetapi untuk menuntut jenazahnya pula,” katanya di sini semalam.
Ibu saudara Nor Ayuni, Iza Mahmood, 52, juga senada, dia tiba di Masjid Hadhari sejak pukul 9.30 malam kelmarin bagi memberi penghormatan terakhir buat anak saudaranya.
“Tak sangka Nor Ayuni yang merupakan anak bongsu pergi dahulu mengikut arwah ibunya yang telah lama meninggal dunia.
“Kami reda ketentuan Allah. Cuma doa dan mengiringi perjalanan terakhirnya (Nor Ayuni) terjemahan kasih sayang kami terhadap dia,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Masjid Hadari, Mohd. Noor Ibrahim memberitahu, solat 13 jenazah serentak merupakan paling ramai pernah dilaksanakan sejak rumah ibadat Islam terkenal di daerah ini beroperasi sejak lebih 16 tahun lalu.
“Alhamdulillah semua berjalan lancar dengan kerjasama semua pihak walaupun kami menerima tetamu terdiri ahli keluarga mangsa dan penduduk setempat yang agak ramai.
“Pengurusan masjid turut berduka cita kerana menganggap kesemua mangsa yang masih muda seperti anak sendiri,” katanya.