Sistem amaran awal bantu penduduk hadapi bencana geologi – NRES

4 hours ago 2

PETALING JAYA – Usaha memperkukuh kesiapsiagaan bencana geologi terus dipertingkat menerusi lawatan kerja Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh ke beberapa lokasi strategik di sekitar Sabah semalam.

Lawatan tersebut bertujuan meninjau tahap kesiapsiagaan kawasan berisiko selain memperkukuh sistem pemantauan dan amaran awal bagi melindungi keselamatan komuniti setempat.

Menurut kenyataan Pejabat Timbalan Menteri, lawatan melibatkan projek di bawah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia termasuk pemetaan sesar aktif, kawasan risiko gempa bumi, pemasangan Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh (EWS) serta pemantauan cerun kritikal di sekitar Kundasang, Ranau dan Kota Kinabalu.

Antara lokasi yang dilawati ialah Kundasang View Point, Kampung Lembah Permai, Sabah Tea Ranau, Sekolah Kebangsaan Kokol Menggatal dan Country Height Apartment, Bundusan.

“penggunaan teknologi serta kepakaran saintifik mampu membantu kerajaan mengenal pasti risiko lebih awal sekali gus memperkukuh tindakan mitigasi sebelum berlaku sebarang bencana.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan keselamatan komuniti sentiasa diberi perhatian terutama di kawasan yang dikenal pasti berisiko,” katanya.

Pada lawatan itu juga, Syed Ibrahim turut meninjau Kampung Lembah Permai yang pernah mengalami kejadian rayapan tanah pada Februari 2023 selain kawasan cerun kritikal di Country Height Apartment, Bundusan yang terjejas akibat tanah runtuh pada September tahun lalu.

Beliau turut meluangkan masa berinteraksi bersama penduduk setempat, guru serta pelajar bagi mendengar sendiri kebimbangan mereka berkaitan keselamatan kawasan kediaman dan persekitaran.

“Pendekatan turun padang itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan komuniti di kawasan berisiko terus mendapat perhatian serta perlindungan sewajarnya,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |