Amaran tindakan tegas pencetus kekacauan final Piala Malaysia

13 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Polis memberi amaran tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mencetuskan kekacauan, rusuhan serta provokasi melampau sepanjang aksi final Piala Malaysia 2025/2026 antara Johor Darul Ta’zim dan Kuching City FC di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tindakan tegas akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang semasa terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu ketenteraman awam sebelum, semasa dan selepas perlawanan berlangsung.

Menurut beliau, perlawanan akhir tersebut dijangka menarik kehadiran antara 30,000 hingga 40,000 penyokong dengan semua pintu masuk stadium dibuka seawal pukul 5 petang tertakluk kepada keadaan semasa dan cuaca.

“Pihak PDRM telah membuat persiapan rapi dan bekerjasama dengan pelbagai agensi serta jabatan bagi memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam terjamin sepanjang perlawanan berlangsung.

“Pemeriksaan tubuh badan dan barangan akan dilakukan oleh petugas marshall di setiap pintu masuk stadium,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, antara barangan yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke stadium ialah dadah, mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser, objek tajam, senjata berbahaya, minuman keras, payung, tongkat, powerbank, botol air, rokok elektronik, drone, pembesar suara, wisel, air horn dan kipas tangan elektronik.

Katanya, gendang hanya dibenarkan dengan kebenaran pihak Liga Bola Sepak Malaysia.

Sementara itu, orang ramai turut dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam ke stadium selain mengelakkan laluan sekitar Bukit Jalil sekiranya tidak mempunyai urusan menyaksikan perlawanan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Penyokong juga diminta mematuhi arahan pegawai dan anggota polis bertugas selain mengamalkan sikap sabar, berhemah dan bertolak ansur ketika menyaksikan perlawanan.

“Tindakan saman dan tunda akan diambil terhadap mana-mana kenderaan yang diletakkan di bahu jalan sehingga menghalang lalu lintas,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |