Pendaki Croatia 5 hari bertarung nyawa diselamatkan

1 hour ago 2

KOTA KINABALU – Sebanyak 43 anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya membawa turun seorang pendaki warga Croatia yang terjatuh ketika mendaki Gunung Kinabalu dalam operasi yang mengambil masa selama lima hari, berakhir lewat malam semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd. Pisar Aziz berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mauro Persic, 46, mengalami kecederaan di bahagian kaki kanan, tulang rusuk kanan, serta luka ringan pada tangan akibat insiden berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 5.10 petang Ahad lepas sebelum pasukan dan jentera bomba tiba di kawasan kejadian pada pukul 5.38 petang.

“Proses membawa turun mangsa dari lokasi kejadian hanya dapat dilakukan secara berperingkat menerusi lima pembahagian zon pasukan bermula pada pukul 7.07 pagi semalam, berikutan terpaksa melalui laluan mencabar sejauh dua hingga tiga kilometer selain cuaca tidak mengizinkan.

“Pasukan SAR juga menempuh keadaan cuaca hujan sepanjang perjalanan sebelum selamat tiba di Platform KM 6.5 pada pukul 3.21 petang bagi meneruskan proses penurunan dari Panalaban ke Timpohon Gate (kaki Gunung Kinabalu),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pergerakan membawa mangsa menuruni laluan gunung itu dilaksanakan menggunakan kaedah piggyback carry dengan peralatan body harness carrier.

Katanya, petugas Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan rawatan perubatan awal kepada mangsa sebaik sahaja tiba di Timpohon Gate pada pukul 7.06 malam.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Ranau pada 7.22 malam menggunakan ambulans KKM dengan diiringi kenderaan MPV PDRM untuk rawatan selanjutnya.

“Komander operasi mengesahkan kesemua pasukan SAR dan mangsa telah selamat tiba di Timpohon Gate sebelum operasi ditamatkan secara rasmi pada 10 malam tadi,” katanya. – BERNAMA

Read Entire Article
Pertanian | | | |