KUALA LUMPUR – Persidangan M360 ASEAN 2026 yang melabuhkan tirainya semalam menyaksikan usaha memperkukuh agenda digital serantau terus diberi perhatian khususnya dalam aspek kesalinghubungan, kepercayaan dan inovasi bertanggungjawab.
Persidangan bertemakan ‘Trusted Digital Integration Powering ASEAN’s Connected Future’ itu dianjurkan GSMA dengan sokongan Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai rakan penganjur.
Penasihat Kanan Operasi MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd. Yasin berkata, peranan MCMC bukan sekadar sebagai pengawal selia industri, malah turut melibatkan usaha membawa perbincangan mengenai kesalinghubungan, tadbir urus dan pembentukan ekosistem digital ke peringkat antarabangsa.
“Apabila kita bercakap mengenai MCMC, kami adalah pengawal selia untuk industri. Jadi, peranan kami adalah membawa perbualan antarabangsa berkaitan kesalinghubungan, tadbir urus yang lebih baik dan mewujudkan ekosistem untuk persekitaran dalam talian yang dipercayai,” katanya.
Fahmi menyampaikan ucapan utama bersempena majlis perasmian M360 ASEAN 2026 di Kuala Lumpur semalam.Menurut Zurkarnain, kesalinghubungan, pemerkasaan masyarakat dan kepercayaan digital menjadi antara perkara penting yang perlu bergerak seiring dalam membangunkan ekonomi digital ASEAN.
Dalam masa sama, Zurkarnain berkata, perbincangan antara kerajaan, pengawal selia dan pemain industri penting bagi memastikan peraturan yang diperkenalkan tidak dilihat sebagai penghalang kepada inovasi.
“Apabila kita bercakap tentang inovasi dan pembuatan dasar sekarang, orang selalu bercakap bahawa regulasi akan menghalang inovasi. Di sinilah perbualan antara pembuat dasar, pengawal selia, industri serta pelabur menjadi berguna untuk mempertemukan mereka dalam satu platform dan mempunyai perbincangan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menekankan, aspek keselamatan pengguna apabila semakin banyak aktiviti masyarakat dan perkhidmatan mula beralih ke platform digital.
Katanya, penyedia platform juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pengguna dilindungi menerusi ciri keselamatan yang dibangunkan sejak awal.
“Semakin banyak pengaruh yang kita miliki, semakin banyak tanggungjawab yang perlu kita miliki.
“Jika kita membawa orang ke platform mereka, mereka perlu bertanggungjawab untuk memastikan orang-orang ini dilindungi dan mereka perlu menggunakan sistem atau mewujudkan keselamatan berdasarkan reka bentuk supaya orang dilindungi,” jelasnya.
Zurkarnain berkata, kepercayaan pengguna menjadi asas penting kepada kelangsungan platform digital, terutama dalam menangani penipuan dalam talian.
Zurkarnain“Jika terdapat banyak penipuan di platform, orang akan meninggalkan platform kerana mereka tidak rasa selamat dan tidak percaya.
“Ramuan yang kita ada ialah peraturan yang mengambil perhatian terhadap perkara itu daripada sudut perspektif tadbir urus, tetapi pada masa sama terdapat tanggungjawab oleh pengasas platform,” jelasnya.
Persidangan tersebut yang berlangsung selama dua hari yang berakhir semalam di sebuah hotel terkemuka di sini telah dirasmikan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Dalam ucapannya, Fahmi berkata, ASEAN mempunyai peluang besar untuk meraih manfaat ekonomi digital menerusi rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang dicapai pada Mei lalu.
Menurutnya, pelaksanaan DEFA secara berkesan dijangka mampu membuka ruang kepada ekonomi digital ASEAN mencecah sehingga AS$2 trilion (RM812 trilion) menjelang 2030.
“Bagi Malaysia, hala tuju itu jelas. Kita mesti mengubah kesalinghubungan kepada keupayaan, keupayaan kepada keyakinan dan kemajuan negara kepada kekuatan serantau.
“Ini merupakan usaha seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat. Sektor komunikasi menyediakan asas bersama yang semakin penting untuk perkhidmatan awam, inovasi dan perusahaan,” katanya.
Sebagai negara tuan rumah M360 ASEAN, Malaysia membawa pengalaman sendiri dalam memperkukuh infrastruktur, kepercayaan dan keupayaan digital ke dalam perbincangan serantau.
Di peringkat domestik, liputan internet di kawasan berpenduduk mencapai 99.75 peratus setakat 31 Julai menerusi inisiatif JENDELA, manakala Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 memperkukuh tanggungjawab platform serta perlindungan pengguna.
Dalam pada itu, usaha membangunkan bakat digital turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila ASEAN 5G Skills Framework and Capacity Development Platform yang diterajui MCMC melalui MCMC Academy diiktiraf sebagai Projek Pemenang Anugerah WSIS 2026.
Sebagai rakan penganjur, MCMC turut menyumbang pengalaman Malaysia dalam aspek kawal selia dan pembangunan sektor digital, selain membuka ruang untuk mendapatkan perspektif daripada kerajaan, pengawal selia dan pemain industri dari seluruh rantau. -KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2












































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)



