Final ACC: Buriram benam Selangor di Petaling Jaya

8 hours ago 5

PETALING JAYA – Juara bertahan, Buriram United membawa bekalan tipis ke Thailand selepas menewaskan Selangor FC 1-0 pada aksi final pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium MB Petaling Jaya, sebentar tadi.

Gol tunggal pelawat hadir pada minit ke-25 menerusi tandukan penyerang sensasi pasukan pelawat, Suphanat Mueanta hasil hantaran tepat kapten berpengalaman, Theerathon Bunmathan.

Kekalahan itu menyaksikan Selangor kini berdepan tugas getir menjelang aksi timbal balik di Buriram minggu depan dalam misi memburu trofi sulung kejohanan tersebut.

Pada perlawanan itu, Buriram terlebih dahulu memberi amaran awal apabila percubaan Kingsley Schindler pada minit ke-10 hampir membuka tirai jaringan, namun rembatannya sedikit tersasar.

Selangor yang tampil agresif di depan penyokong sendiri cuba bangkit menerusi beberapa gerakan pantas diketuai Alvin Fortes dan Hugo Boumous.

Pemain Selangor, Alvin Fortes diasak pertahanan Buriram United pada aksi final ACC sebentar tadi. – Foto ISKANDAR ISHAK/KOSMO!

Fortes hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-32, namun rembatan derasnya dari luar kotak penalti berjaya ditepis penjaga gol berpengalaman Buriram, Neil Etheridge.

Pemain sayap itu sekali lagi memperoleh peluang terbaik tujuh minit kemudian, tetapi percubaannya dari jarak dekat tersasar ketika pintu gol sudah terbuka luas.

Sebelum tamat babak pertama, Buriram hampir menambah jaringan menerusi Suphanat, namun penjaga gol Gergasi Merah, Sikh Izhan tampil cemerlang menyelamatkan percubaan pemain Thailand itu.

Bersambung pada separuh masa kedua, Selangor meningkatkan tekanan dan hampir menyamakan kedudukan menerusi tandukan Chrigor pada minit ke-57, namun bola hanya melewati palang gol.

Pada masa kecederaan, Boumous dan Faisal hampir mencetus kegembiraan penyokong Red Giants, namun gagal menyudahkan peluang terhidang dengan keputusan 1-0 kekal hingga wisel penamat. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |