LENGGONG – Perak sekali lagi mengukuhkan kedudukannya di persada global sebagai pelopor inovasi alam sekitar melalui kejayaan projek pemulihan liar Cendawan Susu Rimau (Lignosus rhinocerus) di Kompartmen 194, Hutan Simpan Piah di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bambusa Dr. Muhammad Hakim Abdullah berkata, inisiatif berimpak tinggi itu bermula pada 29 September 2024 melalui penanaman sulung cendawan itu oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata, kejayaan penanaman cendawan itu merupakan satu isyarat bahawa ia telah bersedia untuk dicalonkan ke anugerah berprestij di peringkat antarabangsa sebagai model terbaik kelestarian biodiversiti dan perhutanan sosial sejagat.
“Projek perintis ini menandakan satu pencapaian julung kali berlaku di dunia dalam bidang myco-restoration ataupun pemulihan ekosistem berasaskan kulat.
“Di saat institusi penyelidikan global mengehadkan penanaman khazanah perubatan nadir ini di dalam persekitaran makmal terkawal, kerajaan negeri Perak di telah memberikan sokongan dasar yang padu bagi membuktikan keupayaan saintifik tinggi ini.
“Ia sekali gus membolehkan spesies tersebut disatukan semula ke habitat hutan liar asli,” katanya kepada pemberita di lokasi penanaman cendawan tersebut di Hutan Simpan Piah di Lenggong semalam.
Muhammad Hakim berkata, pendekatan itu bukan sahaja memelihara ketulenan genetik Cendawan Susu Rimau malah menjadi penanda aras baharu bagi pengurusan hutan lestari global.
“Visi kami di Perak melangkaui sempadan pemuliharaan konvensional. Melalui dokongan tidak berbelah bahagi Menteri Besar terhadap agenda perhutanan sosial, kita membuktikan bahawa bioteknologi moden mampu berjalan seiringan dengan pemerkasaan hakiki komuniti peribumi.
“Tunjang utama kepada kejayaan yang diiktiraf dunia ini adalah komitmen luar biasa dan kesetiaan tidak berbelah bahagi daripada komuniti Orang Asli Suku Lanoh dari Kampung Air Bah,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi memperkasakan usaha murni mereka dalam bidang mikologi dan etnobotani, sebuah makmal penyelidikan liar yang canggih bakal dibangunkan di tapak projek dengan pembiayaan penuh daripada Yayasan Bambusa.
“Membawa status sebagai makmal mikologi liar pertama di dunia yang diuruskan sepenuhnya oleh komuniti Orang Asli, fasiliti ini akan dikendalikan sendiri oleh masyarakat Suku Lanoh Kampung Air Bah, sekali gua mengiktiraf kepakaran tradisional mereka sebagai benteng barisan hadapan sains moden.
“Komuniti Air Bah telah mempamerkan dedikasi yang tinggi dalam memantau, mendokumentasikan dan menjaga tapak pemuliharaan ini daripada sebarang ancaman luar,” ujarnya.
Beliau berkata, integrasi ilmu warisan etnobotani mereka kini diiktiraf secara rasmi dalam metodologi saintifik projek, bahkan keberanian Menteri Besar dalam menyokong dan memayungi zon penyelidikan eksklusif ini memberikan kekuatan pentadbiran yang kukuh.
“Ia membolehkan komuniti tempatan memelihara khazanah hutan sambil menyasarkan pengiktirafan di peringkat tertinggi global melalui usaha bersungguh-sungguh ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
5






![[VIDEO] Jangan tunggu kaya baru nak kahwin – Madnor](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-21-at-5.08.20-PM.jpeg)











![[VIDEO] Aktivis GSF 2.0, FFC diikat tangan di belakang, kepala atas lantai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-20-at-10.33.30-PM.jpeg)




























