AMPANG – Seorang penjaga sebuah rumah kebajikan dipenjara 11 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas enam pertuduhan amang seksual fizikal, bukan fizikal dan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap dua kanak-kanak lelaki.
Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Retna Velu, 25, mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan yang dibacakan semula terhadapnya dalam bahasa Tamil.
Hari ini merupakan tarikh jatuh hukum selepas tertuduh telah mengaku bersalah semasa didakwa pada 9 April lalu.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun bagi setiap pertuduhan dan hukuman berjalan secara serentak. Bagi hukuman sebatan pula, mahkamah mengenakan satu sebatan bagi setiap pertuduhan pertama hingga kelima sementara bagi kesalahan di bawah Seksyen 15 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 tiada sebatan dikenakan,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 3 April lalu selain sesi kaunseling sepanjang tempoh pemejaraan serta pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman.
Mengikut keenam-enam pertuduhan itu, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal, bukan fizikal serta seks luar tabii terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan 10 tahun (umur sewaktu kejadian).
Kesalahan itu dilakukan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Batu Caves, Selayang pada Februari dan Mac 2026 yang didakwa mengikut Seksyen 14(a) 14(b), 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Seksyen 14(a) dan 14(b) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan manakala Seksyen 15 (a)(i) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.
Bagi Seksyen 377C pula memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya hanya memohon hukuman diringankan.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira fakor kepentingan awam.
“Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara secara berasingan terhadap enam pertuduhan itu selain perintah pengawasan polis,” kata Nadiah.
Sementara itu, ibu serta ibu saudara kepada dua mangsa ketika membacakan kenyataan impak sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman menggambarkan trauma yang dialami kanak-kanak berkenaan.
Menurut ibu kepada mangsa lelaki berumur lapan tahun selepas kejadian, anaknya menjadi pendiam dan berasa takut untuk bercakap dan mengenali orang lain.
“Saya terima aduan daripada sekolah bahawa pelajaran anak saya merosot dan dia sering berasa letih. Bagaimanapun, guru-guru di sekolah memberi kaunseling pada anak saya dan kini dia nampak baik,” katanya.
Dalam pada itu, ibu saudara kepada mangsa berumur 10 tahun pula menyatakan kanak-kanak itu sering menceritakan mengenai kejadian tersebut kepada keluarga selain emosinya sering tidak stabil dan takut dengan orang yang tidak dikenali terutama lelaki.
Selain keluarga mangsa, turut hadir dalam prosiding itu ialah peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa iaitu Kirthen Subramaniam dan Premila Subramaniam.
Meskipun telah dijatuhi hukuman, Retna Velu masih berdepan lagi sembilan pertuduhan kesalahan sama di Mahkamah Sesyen berlainan di hadapan Hakim Ho Kwong Chin.
Sekiranya Retna Velu mengekalkan pengakuan salahnya di mahkamah itu, tarikh 4 Jun ini ditetapkan untuk fakta kes dan jatuh.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun mendedahkan menjadi mangsa liwat di sebuah rumah kebajikan di Batu Caves sejak dua tahun lalu.
Mangsa merupakan antara lebih 20 kanak-kanak berusia sembilan hingga 17 tahun yang mengalami penderaan fizikal dan seksual di rumah kebajikan tersebut yang telah beroperasi selama 10 tahun itu.
Dakwanya, perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh pengasas rumah tersebut yang berusia 31 tahun.
Menurut mangsa, dia diliwat sambil dirakam di tandas rumah kebajikan dengan disaksikan rakan-rakannya selain turut menerima jahitan di kawasan kemaluan disebabkan kejadian itu.
Tambah kanak-kanak tersebut, dia tidak berani untuk memaklumkan insiden itu kepada sesiapa kerana sering dipukul menggunakan batang buluh di kepala selain dilumurkan dengan cili merah di muka.
Selain kanak-kanak tersebut, seorang lagi mangsa lelaki berusia 15 tahun turut mendedahkan perkara sama apabila didera secara seksual sejak empat tahun yang lalu.
Presiden Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor, S Maran, yang mendedahkan kes tersebut berkata, selain pengasas, terdapat dua lagi pembantunya yang juga terlibat dengan kes amang seksual melibatkan ramai mangsa. – KOSMO! ONLINE

9 hours ago
5






![[VIDEO] Jangan tunggu kaya baru nak kahwin – Madnor](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-21-at-5.08.20-PM.jpeg)











![[VIDEO] Aktivis GSF 2.0, FFC diikat tangan di belakang, kepala atas lantai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-20-at-10.33.30-PM.jpeg)




























