Tengku Amir Shah kini Leftenan Komander TLDM

9 hours ago 6

PETALING JAYA – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bergelar Leftenan Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selepas menerima pemakaian pangkat tersebut dalam satu majlis di Istana Alam Shah di Klang, hari ini.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Markas Tentera Laut (MTL), pemakaian pangkat Leftenan Komander itu disempurnakan sendiri oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diringi Panglima Tentera Laut, Tan Sri Zulhelmy Ithnain.

Terdahulu kata kenyataan itu, pertukaran perkhidmatan Tengku Amir Shah daripada Tentera Darat Malaysia ke TLDM dalam Cawangan Eksekutif diperkenankan Yang di-Pertuan Agong menerusi Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera berkuat kuasa pada 19 November 2025.

“Menerusi pertukaran itu, baginda menyandang pangkat Leftenan TLDM sebelum Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera Ke-633 meluluskan kenaikan pangkat kepada Leftenan Komander TLDM dengan tarikh kekananan bermula 24 Februari lalu.

“Baginda kini turut diperjawatkan di Unit Pasukan Simpanan Sukarela TLDM, KD Sri Klang,” kata kenyataan itu.

Menurut MTL, Raja Muda Selangor itu memulakan kerjaya ketenteraan pada tahun 2014 menerusi latihan Pegawai Kadet di Akademi Tentera Darat, Port Dickson sebelum meneruskan latihan di Royal Military Academy Sandhurst (RMAS), United Kingdom dari tahun 2015 hingga 2016.

Baginda ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 19 Julai 2016 dan ditempatkan di Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (17 RAMD) Para sebagai Ketua Platun Rintis Serang.

Selain itu, baginda turut layak memakai Maroon Beret dan Sayap Penerjunan Kehormat Para.

Pada 15 April 2017, baginda dinaikkan pangkat ke Leftenan sebelum menyandang pangkat Kapten pada 19 November 2020 ketika berkhidmat bersama 17 RAMD.

Pertukaran perkhidmatan itu turut dilihat meneruskan legasi keluarga Diraja Selangor dalam dunia maritim dan TLDM.

Nenda baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pernah berkhidmat sebagai Kepten Yang Dipertua TLDM Ketiga, manakala Sultan Sharafuddin Idris Shah pula merupakan Kepten Yang Dipertua TLDM sehingga kini.

Sebagai persediaan dalam perkhidmatan baharu itu, baginda dijadual menjalani latihan familiarisasi secara komprehensif termasuk latihan pengendalian kapal selain menyertai eksesais dan latihan bersama melibatkan TLDM serta angkatan laut negara sahabat. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |