KUALA LUMPUR – Tiada istilah berat sebelah, pelakon Mimi Lana berpendapat pemilihan Aisha Retno dan Mila Mohsin sebagai watak utama dalam teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) bukan isu pilih kasih seperti didakwa segelintir pihak sebaliknya berlandaskan kelayakan.
Ujar Mimi atau nama sebenarnya Mimi Roziana Zainal Abidin, 31, keputusan produksi wajar dihormati, apatah lagi pementasan tersebut diterajui figura berpengalaman seperti Puan Sri Tiara Jacquelina.
“Pada saya kan, kalau saya sendiri ada anak sekalipun, saya pun akan panggil anak sendiri untuk pegang watak PGL.
“Contoh andai saya pernah jadi PGL dan anak saya pun ada bakat berlakon, sudah tentu saya akan beri peluang itu.
“Lagipun produksi itu milik dia (Tiara), tetapi selain faktor itu, saya percaya mereka memang layak dipilih, tiada apa yang boleh disangkal lagi,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menurutnya, kedua-dua pelakon tersebut bukan calang-calang kerana sudah biasa dengan pentas, sekali gus memiliki kelebihan besar untuk menjayakan watak berat tersebut.
“Mereka memang sudah biasa dengan pentas. Pemilihan mereka adalah selayak-layaknya.
“Aisha Retno pula tak perlu dipertikaikan, penguasaan pentas sangat bagus. Begitu juga Mila.
“Jadi bagi saya, tiada masalah pun dengan pemilihan itu,” ujarnya pada sidang media tayangan filem Polong, di sini, malam tadi.
Isteri kepada aktor Syafiq Kyle itu juga mengakui proses uji bakat bagi watak Puteri Gunung Ledang bukan sesuatu mudah kerana menuntut keupayaan menyanyi, menari dan berlakon secara langsung.
“Proses uji bakat PGL memang sangat mencabar. Saya rasa pemilihan dibuat memang kepada individu paling layak.
“Mereka sudah biasa dengan pentas, berbeza dengan saya yang lebih banyak berlakon filem,” ungkapnya.
Tambah Mimi, meskipun mempunyai asas nyanyian, pengalaman membuat persembahan secara langsung di hadapan khalayak ramai masih menjadi cabaran besar buat dirinya.
Bagaimanapun, dia tidak terlalu kecewa walaupun gagal mendapatkan watak idaman, sebaliknya bersyukur kerana memperoleh pengalaman baharu sepanjang sesi uji bakat.
“Saya boleh menyanyi, tetapi tidak pernah menyanyi di depan penonton ramai. Jadi untuk pentas teater, memang agak sukar untuk saya.
“Saya tidaklah terlalu kecewa, tetapi bila tak dapat sesuatu yang kita nak, mesti ada rasa sedikit.
“Cuma saya sangat seronok melalui proses uji bakat itu. Dalam masa singkat, saya kena hafal skrip, menyanyi dan menari. Pengalaman itu sangat berharga,” jelasnya.
Tambahnya, pengalaman tersebut membuka mata tentang cabaran sebenar dunia teater, malah memberi semangat untuk terus mencuba peluang lain pada masa hadapan.
“Walaupun saya hanya ‘jadi PGL’ sekejap waktu uji bakat, pengalaman itu cukup bermakna.
“Insya-Allah, saya akan cuba lagi jika ada peluang untuk projek seumpamanya,” tuturnya.
Terdahulu, produksi Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLTM) tampil memberi penjelasan susulan dakwaan segelintir pihak mengenai ketelusan pemilihan pelakon.
Menerusi kenyataan di Threads, pihak produksi menegaskan proses pemilihan dilakukan secara profesional tanpa sebarang unsur pilih kasih.
Untuk rekod, teater tersebut dijangka dipentaskan sekitar Oktober depan. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
6






![[VIDEO] Jangan tunggu kaya baru nak kahwin – Madnor](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-21-at-5.08.20-PM.jpeg)











![[VIDEO] Aktivis GSF 2.0, FFC diikat tangan di belakang, kepala atas lantai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-20-at-10.33.30-PM.jpeg)




























