Shah Firdaus sasar final keirin

2 weeks ago 16

KECEDERAAN lutut dialami jaguh berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak menjadi penghalang buatnya meraih pingat gangsa acara pecut individu lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 kelmarin.

Pencapaian itu menjadi pembakar semangat serta sumber motivasi untuk dia menampilkan aksi lebih baik menjelang acara keirin di Velodrom Nasional, Nilai Negeri Sembilan hari ini.

Walaupun perlu berdepan kesakitan di bahagian lututnya, namun Shah Firdaus tiada pilihan dan perlu beraksi dalam acara keirin selain menganggapnya sebagai tanggungjawab sebagai atlet.

Atlet kelahiran Muar, Johor itu berkata, persaingan kali ini lebih terbuka selain berharap dapat meneruskan kemaraan ke aksi final memandangkan Jepun tidak menghantar Kento Yamasaki yang merupakan juara keirin dunia.

“Saya akan cuba untuk pulihkan diri sebaik yang boleh kerana memang saya perlu mengambil bahagian dalam keirin. Nak ataupun tidak, memang tidak ada pilihan tetapi saya okey sahaja kerana ini adalah tugas sebagai atlet.

“Sekarang acara pecut sudah tamat, jadi saya akan berikan fokus terhadap satu demi satu (pusingan) dalam keirin. Apa yang penting saya mahu menempatkan diri dalam aksi final kerana peluang dilihat lebih terbuka,” katanya.

Biarpun menganggap peluang cukup seimbang untuk mara ke pentas final, namun Shah Firdaus percaya persaingan tetap sukar dan memerlukan dia merangka strategi terbaik bagi mencapai sasaran.

“Kali ini juara dunia dari Jepun tidak turun tetapi pelumba-pelumba lain bukan calang-calang. Memang akan jadi sukar tetapi kita tunggu undian macam mana dan posisi kerana itu perlu diambil kira.

“Sudah tentu saya akan berikan segala-galanya kerana memang sudah tidak ada pilihan lagi. Keirin memang bergantung kepada taktikal, jadi saya perlu lebih bijak untuk perlumbaan itu nanti,” ujarnya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |