KUALA LUMPUR – Penganjuran Semarak Syawal Malaysia–Indonesia 2026 mampu menjadi pemangkin baharu dalam memperkukuh jaringan perdagangan dua hala apabila menghimpunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kedua-dua negara dalam satu ekosistem ekonomi yang sistematik.
Pengarah Program merangkap Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Permuafakatan Usahasama Malaysia, Ariff Fadli Abd. Wahab berkata, program itu bukan sekadar bazar Ramadan, sebaliknya berperanan sebagai platform padanan perniagaan serta membuka laluan eksport ke pasaran antarabangsa.
Menurut beliau, konsep ‘Lokal ke Global’ yang diketengahkan memberi fokus kepada pembinaan rantaian nilai perdagangan rentas negara di samping memperluaskan jaringan strategik antara pemain industri Malaysia dan Indonesia.
“Semarak Syawal menjadi ruang kepada usahawan PKS membina kolaborasi jangka panjang dan memperkukuh hubungan dagang rakyat ke rakyat secara lebih mampan,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Hadir sama Ketua Kumpulan Andalan Nahdliyin UMKM Indonesia DKI Jakarta, Merda Nelly Hasan, Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merangkap Pengerusi Biro Kesenian dan Kebudayaan, Dr. Siti Saidatul Azween Ismail dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez.
Karnival yang berlangsung di Aras 2, KL Gateway Mall, Kerinchi bermula Ahad lalu hingga 18 Mac ini beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Sepanjang tempoh 32 hari itu, pelbagai pengisian disusun termasuk pameran produk halal, pavilion usahawan Malaysia–Indonesia, forum ekonomi serta persembahan seni budaya yang menonjolkan warisan serumpun.
Dalam pada itu, Merda Nelly memaklumkan pihaknya membawa kira-kira 30 usahawan dari Indonesia melibatkan sektor makanan dan minuman serta fesyen.
Menurutnya, penyertaan tersebut merupakan yang pertama di Malaysia dengan matlamat menjadikan negara ini sebagai inkubator eksport ke pasaran global melalui kerjasama strategik bersama PKS tempatan.
“Bukan sekadar menjual produk Indonesia, sebaliknya kita bergabung dengan PKS Malaysia untuk memproses, menambah nilai dan menembusi pasaran luar negara secara bersama,” ujarnya.
Tambah beliau, pengiktirafan pensijilan halal Malaysia di peringkat dunia menjadi antara faktor utama pemilihan negara ini sebagai pusat pemprosesan sebelum produk dipasarkan ke Eropah, Australia, England dan Amerika Syarikat.
Sementara itu, Dr. Siti Saidatul Azween pula memberitahu bahawa program berkenaan turut menjadi medium memperkukuh hubungan budaya apabila menghimpunkan komuniti usahawan dan penggiat seni kedua-dua negara dalam satu platform yang sama. – KOSMO! ONLINE

19 hours ago
7







![[VIDEO] Bibik dapat RM1,000, bos bagi angpau](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/angpau.jpeg)




![[VIDEO] Kulit gendang tarian singa, bolehkah orang Islam sentuh?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/gendang.jpeg)




































